zahid

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara, sepakat, menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Muhyiddin mesti ambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan, perlu letak jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat

“Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan adalah mencukupi,” katanya dalam sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, hari ini.

Beliau berkata surat itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menandakan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Katanya, kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda.

“Baginda pada hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki juga menghadiri majlis itu yang diadakan selepas mesyuarat majlis tertinggi di ibu pejabat parti berkenaan jam 4 petang tadi.

Hadir sama Ahli-ahli Parlimen yang menandatangani surat akuan tersebut antaranya Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Seri Abdul Aziz Rahim (Baling).

Zahid berkata, beliau akan mendapatkan tandatangan beberapa lagi ahli Parlimen UMNO terutama dari Sabah pada hari lain dan akan mempersembahkannya kepada Seri Paduka Baginda apabila dipanggil mengadap nanti.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH BELIAU:

Statemen-zahid-hamidi