TIADA pesakit didapati duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Perkara itu disampaikan Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi dalam kenyataan sebagai maklum balas kepada laporan sebuah portal berita yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di hospital berkenaan.
Menurut Dr. Zulkarnain, pihak hospital mendapati tiada kejadian seumpama itu berlaku setelah semakan dan siasatan dijalankan.
Kata beliau, Jabatan Kecemasan dan Trauma kini sedang menunggu pembukaan hospital lapangan di HTAR yang dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang agak ramai.
Beliau berkata, pesakit COVID-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi pendingin hawa.
“Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu.
Baca artikel berkaitan: HTAR dapat tambahan lima lagi ambulans
“Justeru, dakwaan bahawa pesakit terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod adalah tidak benar.
“Pihak hospital sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang awam untuk penambahbaikan bagi memastikan akses kesihatan dan rawatan yang saksama kepada semua pesakit yang menerima rawatan di hospital ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan bekalan dan peralatan perubatan didakwa tidak mencukupi di HTAR sehingga pesakit terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod.
Hujung bulan lalu, HTAR turut menafikan hospital berkenaan berhadapan dengan isu kekurangan tong oksigen dan katil untuk pesakit seperti yang tular dalam media sosial.
Bekalan oksigen serta katil di HTAR bagi kegunaan merawat pesakit adalah mencukupi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

