SEBANYAK enam lagi lokaliti akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Sabtu ini susulan peningkatan kes positif COVID-19.
Pelaksanaan PKPD di enam lokaliti tersebut terletak dalam empat negeri iaitu Pahang, Kedah, Kelantan, dan Sabah.
Seperti biasa, Sabah terus menjadi negeri tertinggi yang dikenakan PKPD setiap hari dan kali ini melibatkan tiga lokaliti diikuti masing-masing satu di Pahang, Kedah dan Kelantan.
Perkara berkenaan diumumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hishammuddin, pelaksanaan PKPD di kesemua enam lokaliti itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu sehingga 20 Ogos depan.

“PKPD di Sabah melibatkan dua lokaliti di Tawau iaitu di Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik,: dalam kenyataan berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Sementara itu, satu lagi lokaliti di negeri itu melibatkan Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod.
Hishammuddin menambah, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Morak, Mukim Kebakat, Tumpat; Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah,Langkawi; serta FELDA Sungai Koyan 1 & 2, Lipis.
BERITA BERKAITAN 12 lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD mulai Jumaat

Lanjutan PKPD
Sementara itu, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPD di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
“Tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu melibatkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, dan Taman Maidam. Pelanjutan itu berkuat-kuasa pada 7 hingga 16 Ogos,” katanya.
Selain itu, Hishammuddin berkata Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong dan Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang, pula dilanjutkan PKPD bermula 7 hingga 20 Ogos.

Penamatan PKPD
Jelas beliau, 22 lokaliti lagi melibatkan tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Sabah ditamatkan PKPD berkuat-kuasa esok.
Di Pahang, ia melibatkan 14 lokaliti di Temerloh iaitu Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts serta seluruh Kampung Padang Lalang.
Lapan lagi lokasi di daerah itu ialah Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh FELDA Lakum, Kg Paya Keladan, serta Taman Keladan Indah.
Di Sabah, Hishammuddin berkata, PKPD ditamatkan di Kampung Gumandang, Kudat dan Kampung Lumatai Ulu, Beaufort.
“Selain itu, dua lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Pukak, Mukim Tengah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria, Mukim Berungis.
“Tiga lokaliti di Sipitang iaitu Kampung Banting, Kampung Kawang, serta Kampung Ulu Bole,” katanya. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

