SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan isu pemindahan tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan siasatan itu ketika ini memberi tumpuan kepada tiga pihak.
Menurut SPRM, tiga pihak berkenaan adalah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES); Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah tersebut.
Susulan itu, agensi tersebut berkata, siasatan juga menjurus kepada dakwaan ketirisan serta meneliti sama ada wujud sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan berkenaan.
“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.
“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Jun 2026, pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) telah menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung pemindahan DAK.
Pertubuhan berkenaan turut mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.
DAK sebelum ini dilapor dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Tennoji Zoo.
Perdebatan mengenai DAK semakin hangat apabila pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis kebajikan haiwan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hidup gajah berkenaan.
Mereka berpandangan mengatakan gajah yang berasal dari habitat tropika lebih sesuai ditempatkan di persekitaran semula jadi di Malaysia berbanding di zoo luar negara.
Pada masa sama, pihak mempertahankan perjanjian itu menjelaskan bahawa tempoh kerjasama selama 25 tahun adalah munasabah bagi mencapai matlamat konservasi dan pembiakan jangka panjang.
Susulan kontroversi yang tercetus, beberapa pemimpin dan pihak berkepentingan menggesa agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke tanah air, termasuk mencadangkan ia ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Pusat berkenaan mempunyai kepakaran, ruang pergerakan dan kemudahan yang lebih sesuai untuk penjagaan gajah.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

