Vaksin Moderna: KKM nafi dakwaan sogokan Dr. Musa, akan buat laporan polis

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan Dr. Musa Nordin yang mendakwa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan dan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) terlibat dalam sogokan ketika berurusan mengenai perolehan dan pendaftaran vaksin di negara ini.

Pengamal perubatan swasta itu membuat dakwaan JKJAV tidak membuat perolehan vaksin jenis Moderna dan NPRA masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan ‘sogokan yang mencukupi’ ketika muncul dalam sesi temu bual di saluran Astro Awani dan dilaporkan portal Malaysia Now.

“KKM memandang serius dakwaan tidak berasas yang dibangkitkan oleh Dr. Musa Nordin. Dalam hal ini, satu laporan polis akan dibuat oleh KKM supaya siasatan lanjut dapat dilakukan ke atas tuduhan berat ini,” kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata, mereka menafikan dakwaan tidak berasas yang dibangkitkan oleh Dr. Musa tersebut dan menyatakan perbincangan bagi perolehan vaksin jenis Moderna telah diadakan oleh KKM dengan syarikat pengeluar vaksin ini iaitu ModernaTX Inc. pada penghujung tahun 2020.

“Seterusnya pada 6 Disember 2020, ModernaTX Inc. telah membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM sebanyak 10 peratus daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ketiga hingga suku tahun keempat tahun 2021.

“Cadangan tawaran ModernaTX Inc. telah dibawa untuk pertimbangan JKJAV yang berpendapat tawaran tersebut boleh dipertimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun, KKM menyatakan memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku tahun ketiga 2021, maka JKJAV telah membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar-pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin COVID-19 lebih awal bagi mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Pihak ModernaTX turut diminta untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin kepada NPRA. Berdasarkan semakan dan rekod, pandaftaran vaksin Moderna hanya dikemukakan kepada NPRA pada bulan Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc.,” kata kenyataan itu.

KKM berkata, NPRA kini sedang melaksanakan penilaian secara laluan khas dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam masa terdekat.

Memandangkan kerajaan telahpun mempunyai portfolio dan jumlah dos yang mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, kerajaan akan membuat keputusan keperluan vaksin berkenaan sebaik sahaja vaksin tersebut diluluskan pendaftarannya oleh NPRA, termasuklah penggunaannya sebagai dos penggalak (booster shot) atau secara heterologi, kata kementerian itu. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PERKESO lanjut tempoh Op Kesan, beri ruang majikan tampil carum pekerja

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaan Op Kesan sehingga 30 Jun ini bagi memberi ruang tambahan kepada...

More Articles Like This