Oleh FAZREE ZAINAL ABIDIN
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor akan kembali bersidang pada Khamis ini dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat di Kota Iskandar.
Di sebalik isu utama yang harus menjadi fokus semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Covid-19, tumpuan kini turut terarah kepada penentuan keabsahan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan kerajaan negeri yang sedia ditentukan pada sidang itu.
Seperti diketahui umum perkara yang sedang berlaku di peringkat Pusat, ahli politik Johor tidak sewajarnya terikut-ikut dengan apa yang terjadi kerana mereka semoleknya berpegang teguh kepada politik ‘Cara Johor’.
Prinsip itu sememangnya akan terbukti kelak kerana difahamkan setakat ini kesemua 12 ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menunjangi kerajaan negeri pimpinan Hasni tidak akan menimbulkan sebarang kekalutan kerana fokus utama mereka adalah kemaslahatan rakyat.
Asas itu juga sebenarnya yang perlu menjadi pertimbangan kesemua pihak termasuk wakil-wakil rakyat di peringkat Parlimen kerana dalam 12 ADUN Bersatu itu, salah seorang daripadanya ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini diserang kiri dan kanan.
Boleh sahaja ADUN Gambir itu mahu melakukan perkara sama seperti apa yang dibuat musuh politiknya tetapi perkara terbabit bukan keutamaan mereka dan cara beliau kerana tidak akan menguntungkan rakyat yang sedang terkesan.
Sekiranya Johor boleh mengekalkan status quo itu, mengapa tidak pihak lain atau lebih tepat lagi pemimpin politik parti tertentu mengambil langkah sama dengan betul-betul meletakkan rakyat di atas mereka, bukan di bawah.
Malah, Hasni juga dilihat tiada apa-apa masalah yang perlu diturunkan daripada jawatannya, kerajaan negeri pun baru-baru ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua 56 ADUN di negeri itu tanpa mengira pendirian politik bagi membantu rakyat.
Jika Johor boleh, sudah tentu langkah sama tidak ada masalah untuk dicontohi lebih-lebih lagi di peringkat Persekutuan kerana sebarang perubahan atau rombakan sekarang ini tidak akan menjamin kestabilan negara dalam tempoh-tempoh genting ini.
Tetapi, walaupun ada ‘jaminan’ kerajaan negeri Johor akan terus bergerak seperti biasa, jangan pula ada gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut yang menimbulkan kekacauan kelak kerana sebagai negeri pertama yang kembali bersidang, semua pihak akan menjadikan Johor sebagai suri teladan.
Renungkan titah Sultan Ibrahim mengenai pengumuman membuka DUN itu sebelum ini yang mana baginda mahu semua ahli dewan bersatu hati bersidang demi kepentingan rakyat dan Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri sebaiknya.
- Penulis adalah Penganalisis Politik

