HUBUNGAN antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen dari UMNO mesti diharmonikan segera demi kepentingan parti dan negara.
Gesaan itu disuarakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad atau Tok Mat, barisan kepemimpinan UMNO Negeri Sembilan turut menyokong penuh ketetapan yang telah diputuskan MKT pada 3 Ogos lalu.
Pada masa sama, kata beliau, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan juga menjunjung titah dan berpihak tanpa berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, ia selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO iaitu mendukung dan mempertahan Perlembagaan negara, Perlembagaan negeri-negeri dan raja berperlembagaan.
“Barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menyokong penuh ketetapan yang telah diputuskan oleh MKT yang bersidang 3 Ogos lalu.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan juga menggesa agar hubungan di antara ahli MKT dan Ahli Parlimen UMNO mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.
Baca artikel berkaitan: MKT UMNO tidak boleh buat keputusan, hanya caretaker
“Semoga UMNO diberi mandat oleh rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan hari ini.
3 Ogos lalu, MKT UMNO sebulat suara, sepakat, menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, seramai 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut menegaskan, kesemua 31 Ahli Parlimen BN itu turut sebulat suara menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan supaya keabsahan kerajaan ditentukan menerusi usul undi percaya di Parlimen.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

