Muhammad Sanusi Md Noor./ Gambar fail FB UPDA

SELEPAS polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes mengaibkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, dua lagi lelaki ditahan kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin tersebut di Facebook, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-duanya yang berusia 52 dan 45 tahun ditahan di rumah mereka di Kepala Batas dan Mergong Perdana, Alor Setar pada 5.15 dan 6 petang semalam.

“Seorang Pegawai Khas Menteri Besar Kedah telah membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada sekitar 10.30 pagi semalam ekoran komen negatif dan jelek oleh dua individu itu di Facebook milik Menteri Besar Kedah.

“Seorang daripadanya adalah pekerja swasta dan seorang lagi peniaga. Kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dibebaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BERITA BERKAITAN Video aib MB Kedah, lelaki 61 tahun ditahan di N. Sembilan

Memetik laporan Bernama, kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, polis menahan seorang lelaki di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes video ‘Kamal Hero Malaya’ di Facebook yang dipercayai bertujuan menghina, menjatuhkan maruah serta mencemarkan reputasi Menteri Besar Kedah, selain bermotifkan politik.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi tujuan siasatan…semakan rekod jenayah lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah yang masih disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram