Sesekali apa kata tukar selera dan cuba resipi quiche ikan salmon ini. Resipinya sedap dan pasti pikat selera. Jom cuba!

BAHAN PASTRI
250 gm tepung gandum – ayak
150 gm mentega
Air secukupnya
Secubit garam
BAHAN-BAHAN INTI :
3 sudu besar minyak zaitun
1 labu bawang besar – potong kiub
3 biji tomato ceri – dibelah dua
60 gm ikan salmon – potong kecil, buang tulang & cuci – tos
60 gm udang segar – potong kecil & cuci – tos
100 gm keju mozarela /parmesan – parut
3 biji telur
200 gm susu segar
150 gm krim putar UHT
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil lada sulah

CARA MENYEDIAKAN:

  1. Satukan tepung gandum dan mentega dalam mangkuk, gaul sehingga menjadi serbuk roti.
  2. Campurkan air dan garam, tambahkan sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh.
  3. Bungkus kan doh dengan plastik, simpan dalam peti sejuk selama 30 minit.
  4. Keluarkan doh dan canai di antara dua keping plastik setebal 3mm.
  5. Lapik pastri ke dalam loyang yang telah di gris dan cucukkan dengan garpu pada keseluruhan pastri. Sejukkan di dalam peti sejuk selama 20 minit.
  6. Keluarkan pastri, alas keseluruhan pastri dengan kertas aluminium dan isikan dengan kacang hijau, supaya pastri tidak menggelembung apabila dibakar.
  7. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan dengan suhu 180⁰C selama 20 minit.
  8. Keluarkan pastri, buang kertas aluminium dan kacang hijau, bakar lagi selama 8 minit. Angkat dan sejukkan sekejap sebelum dimasukkan inti.
  9. Untuk inti: Panaskan minyak zaitun, tumis bawang besar sehingga harum dan keperang-perangan, masukkan ikan salmon dan udang. Tumis hingga masak.
  10. Letak dan ratakan bawang dalam kulit pastri yang telah disediakan.
  11. Masukkan inti yang telah siap dimasak, taburkan tomato ceri dan keju mozarela di atas permukaannya.
  12. Dalam mangkuk berlainan, pukul telur, susu segar, krim putar, garam dan lada sulah. Tuang ke dalam kulit pastri.
  13. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan dengan suhu 180⁰C selama 35 minit atau sehingga masak. Angkat dan hidangkan.
Resipi: Cef Asma Nordin, Puchong