PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini, ditangguhkan sehingga 22 Ogos untuk penilaian risiko COVID-19.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata penangguhan itu bagi memberi ruang kepada pengurusan DUN Johor meningkatkan tahap keselamatan semua yang terlibat pada persidangan itu dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“Maka, sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdasarkan penilaian risiko yang telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan bagi memberi ruang kepada pengurusan Dewan Negeri untuk meningkatkan tahap keselamatan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 “….di bawah Peraturan Tetap Bilangan 7 (3) Peraturan dan Perintah-perintah tetap bagi Dewan Negeri Johor, maka saya tangguhkan mesyuarat ini sehingga hari Ahad 22 Ogos pukul 9.30 pagi, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas titah perasmian Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada hari pertama persidangan keempat DUN yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, dalam sidang media selepas itu berkata, speaker sedang memperhalusi SOP dengan JKNJ berkaitan termasuk tempoh bersidang dan jangka masa bersidang.

Beliau berkata, dewan akan berehat seminggu kerana terdapat keperluan mempertingkatkan pematuhan SOP dan keselamatan termasuk pemasangan penghadang lutsinar, ketetapan bilangan boleh hadir dalam dewan, kaedah sebelum hadir dan sewaktu hadir persidangan. 

“Kita akan membentuk satu ‘bubble’ (gelembung) pergerakan bagi ahli-ahli dewan, mungkin mereka akan berada di satu lokasi yang lebih selamat daripada sebarang bentuk kemungkinan iaitu berada dalam kontak rapat dengan mana-mana pihak.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di parlimen itu berlaku di DUN. Baru separuh jalan, terpaksa ditangguhkan kerana adanya kes-kes positif dalam kalangan ahli dewan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan DUN ke-14 hari ini.

Hasni juga mengesahkan kesemua 56 Anggota Dewan Undangan Negeri yang hadir hari ini boleh hadir sepanjang tempoh persidangan memandangkan penjarakan fizikal boleh diadakan.

Beliau berkata SOP persidangan dan tempoh persidangan baharu dijangka diumumkan dua atau tiga hari sebelum persidangan DUN dijadualkan bersambung semula.

Sebelum ini, persidangan dijadualkan berlangsung semula Ahad ini (15 Ogos) sehingga 22 Ogos.- BERNAMA