GENERASI hari ini mungkin tidak biasa mendengar nama Ahmed Deedat. Namun dalam kalangan sejarah pendakwah Islam alaf baru, beliau merupakan ikon kepada golongan pendakwah di seluruh dunia.
Ahmed Deedat merupakan nama besar sebagai tokoh beragama Islam. Namanya turut menjadi perhatian para ‘pembesar’ agama lain. Mereka amat mengenali lelaki berketurunan India yang menetap di Afrika ini.
Siapa Ahmed Deedat ini?

Ahmed Deedat dilahirkan pada 1 Julai 1918 di Surat, India. Berhijrah ke Afrika Selatan pada tahun 1927 dan mengakhiri hayatnya di Durban pada 8 Ogos 2005 ketika berusia 87 tahun setelah sembilan tahun terlantar sakit.
Beliau menubuhkan Islamic Propagation Centre International (IPCI) bersama rakan- rakannya dan dijadikan platform untuk berdakwah.
Kehadiran Ahmed Deedat di pentas-pentas forum, debat dan wacana amat dinanti-nantikan.
Setiap kali berlaku perdebatan berkaitan ketuhanan, keagamaan di antara Ahmed Deedat dengan paderi-paderi atau pun rahib-rahib agama lain, pasti mereka akan membuat persiapan yang rapi sebelum naik ke pentas untuk bertembung dengannya.
Ini kerana lelaki bernama Deedat ini merupakan cendekiawan Islam yang mahir dalam bidang perbandingan agama. Beliau seorang yang pakar dalam selok-belok agama-agama yang ada di dunia ini dan berjaya menumpaskan hujah-hujah lawannya.
Malah, ramai di kalangan paderi-paderi yang berdebat dengannya di Eropah telah memeluk agama Islam.
Kepakaran dan ketinggian ilmu yang ada padanya dicampurkan dengan berhemah dan kebijaksanaannya dalam berhujah, menyebabkan ramai orang tertarik untuk menganut agama Islam.
Musuh-musuh Islam menggunakan hujah-hujah akal untuk berlawan dengan Islam dan Ahmed Deedat telah berjaya menggabungkan hujah-hujah berdasarkan dalil-dalil Al Quran dan kitab-kitab lain di samping kebijaksanaan akal fikirannya dalam mempertahankan agama Islam.

Kebanyakan pentas dialog, debat atau pun forum antara agama yang dihadiri beliau akan berakhir dengan lawannya mengakui kebenaran hujah Deedat, atau pun lawannya terpaksa mendiamkan atau menghilangkan diri.
Usaha Untuk Murtadkan Deedat
Dalam siri dakwahnya, Ahmed Deedat telah menjelajah ke Eropah, Arab, India, Asia dan Afrika. Walaupun beliau sering menang dalam perdebatan dan hujah dakwahnya, namun musuh-musuh Islam dan orientalis Barat masih tidak berpuas hati dengannya.
Mereka terus berusaha untuk mengalahkan hujah Deedat, malah turut cuba memurtadkan pendakwah Islam yang disegani itu.
Anaknya yang bernama Yusuf Deedat pernah membongkar satu peristiwa yang berlaku ketika Ahmed Deedat terlantar sakit dan tidak mampu bangun sebelum kematiannya.
Sewaktu terlantar sakit, beberapa orang Kristian telah datang kononnya mahu berusaha untuk mengubati Deedat menggunakan Tuhan mereka.

Ada seorang lelaki Kristian ke rumah Deedat ketika itu dengan tujuannya mahu cuba mengkristiankan Deedat. Lelaki ini bernama Reverent Naidoo.
Naidoo pergi ke rumah Deedat dan bertanya kepada Deedat, “Boleh saya doakan kamu dengan nama Jesus? Jika saya doakan kamu dengan namanya, kamu akan sihat, bangkit dan berjalan. Kamu akan bercakap dengan namanya. Bolehkah saya bacakan satu ayat daripada Injil supaya Jesus sembuhkan kamu?”
Selesai bertanya, Ahmed Deedat memberi maklum balas melalui pergerakan matanya. Ini dirakamkan dalam komputer riba hitam yang terletak di sebelah katilnya.
Katanya : “Mr Naidoo, tolong bacakan saya ayat 30 bab 1 Genesis.” Pinta Ahmed Deedat.
Reverend Naidoo berasa gembira. Dia menyangka pendakwah Islam terkenal di hadapannya itu akan memperkenankan permintaannya. Lalu dia membuka helaian Bible yang ada padanya, dan membacakan ayat yang dipinta.
“Dan Lut pergi ke Zo’ar dan tinggal di gunung dengan dua anak perempuannya. Anak yang sulung berkata kepada adiknya: “Ayah kita sudah tua dan tidak ada manusia di dunia ini yang akan datang kepada kita dengan keadaan dunia ini. Marilah kita beri ayah kita minuman arak dan tidur bersamanya bagi mendapatkan keturunan daripada ayah kita. Mereka memberi arak kepada ayah mereka malam itu.
“Anak sulung masuk dan tidur bersama ayahnya. Tapi ayahnya tidak ambil peduli bila dia baring atau bangun. Kemudian kakaknya berkata kepada adiknya: “Semalam aku tidur bersama ayahku. Mari kita beri minum arak malam ini lagi dan pergilah kau tidur bersamanya untuk mendapat keturunan daripadanya. Mereka bersama dengan ayahnya dan dia tidak mempedulikannya bila dia baring dan bangun. Maka kedua-dua anak Lut mempunyai anak daripada ayah mereka.”
Selesai membaca ayat tersebut, Ahmed Deedat memberi respon melalui matanya dan bertanya, “Apa moral cerita ini? Apa yang kamu pelajari daripadanya?”
Reverend Naidoo tidak berkata apa- apa. Dia tidak mampu menjawab. Dia tahu dia sudah tewas dengan sendirinya kerana ayat yang dibacanya itu membawa makna yang tidak baik.
Beliau terus bangun dan pergi meninggalkan Ahmed Deedat. Hasratnya untuk mengkristiankan Deedat gagal apabila Deedat terlebih dahulu mematahkan hujahnya dengan ayat yang dia sendiri membacanya.
Usaha untuk memurtadkan Deedat ini tidak terhenti di situ. Musuh-musuhnya melihat inilah peluang untuk mereka gagalkan Ahmed Deedat kerana sangka mereka apabila dia sakit dan lemah, dia tidak ada keupayaan untuk berfikir seperti orang sihat.
Antara kisah lain ialah seorang anak muda bernama Ringo yang datang menziarahi Deedat. Ringo seorang penganut Kristian. Dia bertemu Deedat dan memohon untuk menyembuhkan Deedat daripada penyakitnya. Ringo memberitahu bahawa semangat Jesus ada dalam dirinya dan dia akan lakukan sesuatu untuk menyembuhkan Ahmad Deedat.
Kemudian Ringo menjerit, “Jesus sembuhkan dia! Bangun!”
Ahmad Deedat hanya memerhatikan sahaja dari katilnya. Kemudian dia memberi isyarat kepada Ringo. Dia membacakan satu ayat dalam Injil : “Tidak semua orang mengatakan pada Tuhan, Tuhan masukkan aku ke dalam syurga tetapi ia dimasukkan dengan kehendak Tuhan Bapa ku yang ada di dalam syurga. Ramai yang akan kata pada ku pada hari itu: “Tuhan, tidak aku bersama dalam nama mu? Dan nama mu mengeluarkan syaitan? Dengan nama mu, banyak melakukan kerja-kerja yang hebat? Dan kemudian akan berserah kepada mereka, Aku tidak pernah mengenal mu, berjauhanlah dari ku.” (Matthew 7: 21-23)
Selesai membaca ayat tersebut, Ahmed Deedat bertanya kepada Ringo, “Kenapa Jesus memberitahu kamu hal ini apabila kamu datang untuk melaksanakan kerja suci ini?”
Ringo tidak dapat menjawab soalan itu. Dia berjanji kepada Deedat untuk datang kembali beberapa hari lagi bagi memberi jawapan. Namun, selepas itu Ringo tidak pernah lagi muncul. Ini menunjukkan Ahmed Deedat berjaya mengalahkannya.

Menurut Yusuf anak kepada Ahmed Deedat, semenjak sembilan tahun bapanya terlantar di katil kerana sakit sehinggalah usianya 87 tahun, tidak henti rumah mereka menerima lawatan daripada golongan pendakwah Kristian dan pelbagai agama lain.
Ada yang datang berhujah dan ada yang datang dengan membawa surat dan dokumen untuk mempengaruhi Ahmed Deedat agar memeluk agama mereka. Namun setiap kali Deedat membidas hujah mereka, ramai yang malu sendiri dan terdiam.
Ada juga yang menemui ilham apabila bertemu Deedat walaupun di katilnya. Antaranya Sabiha Doolar Khan. Dia kerap bertemu Deedat dan menghantar surat setiap bulan kepada Deedat.
Menurut Sabiha, Ahmad Deedat berperanan besar memahamkannya tentang Islam yang sebenar sehingga dia memperoleh kefahaman, kesedaran, kebenaran dan kemuliaan Islam itu sendiri.
Walaupun dalam keadaan lumpuh, Ahmad Deedat masih menjawab surat-suratnya yang menambahkan ilham kepada Sabiha dalam mengharungi kehidupannya sebagai seorang Muslim.
Sabiha pernah berkata, tidak ada orang yang kelihatan hebat ketika sakit dan terlantar di katil. Tetapi sebaliknya Ahmed Deedat hebat dan kuat pemikirannya walaupun terlantar.
Ini menunjukkan insan bernama Ahmed Deedat ini melakukan perkara yang menggembirakan Allah S.W.T, Tuhan sekalian makhluk. Demikianlah hebatnya seorang ulama Islam yang menjadi pendakwah terkenal di dunia suatu ketika dahulu.

Pernah suatu ketika, anaknya Yusuf bertanya kepada bapanya. Selama terlantar sakit, tidakkah dia merasa letih untuk melayan tetamunya yang begitu ramai. Ditambah pula para tetamu itu datang dengan membawa pelbagai permasalahan. Namun Ahmed Deedat menjawab, dia tidak letih atau pun kecewa.
Yusuf bertanya lagi, apakah maknanya tetamu-tetamu itu buat Deedat. Bapanya itu menjawab, kehadiran mereka menggembirakan. Dia merasakan tetamu-tetamu itu satu rahmat buatnya.
Begitulah hebatnya Ahmed Deedat berhujah, berkuliah sehingga ketika terlantar sakit dan menghampiri kematian, dia masih seronok dikunjungi tetamu.
Inilah kelebihan yang telah Allah berikan kepada beliau sehingga mampu mengIslamkan ramai paderi dan penganut-penganut agama lain.

Hari ini, Ahmed Deedat sudah tiada. Namun, beliau meninggalkan buku-buku tulisannya dan juga rakaman kuliahnya dan hujah beliau sebagai sebaran dakwah untuk dunia Islam.
Sesuatu yang amat besar untuk dijadikan pedoman, beliau berjaya mempertahankan agama dan akidahnya sehinggalah ke akhir hayat beliau. Itulah insan bernama Sheikh Ahmed Hoosen Deedat al-Hafiz, cendekiawan Muslim yang hebat dalam bidang perbandingan agama sehingga digeruni musuh Islam.

________________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

