Vaksin lengkap turunkan kes kemasukan ke hospital di 5 negeri

Dari Penulis

SUNTIKAN dos lengkap vaksin COVID-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri termasuk Kuala Lumpur berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, suntikan dos lengkap itu juga mengurangkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori jangkitan di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dr Noor Hisham Abdullah

“Kita dapati apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

“Negeri-negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Jelas Noor Hisham, trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

“Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori empat dan lima ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” jelasnya.

Menyentuh mengenai vaksin yang diguna pakai di Malaysia, beliau berkata ia berkesan dalam menangani varian Delta dan ini dibuktikan dengan kejayaan menurunkan bilangan kes kemasukan ke hospital dan kematian di Labuan serta Sarawak.

“Contohnya di Labuan, penularan adalah varian Delta (yang) kita telah kenal pasti melalui kematian dan sebagainya tetapi dengan menggunakan 90 peratus vaksin Pfizer dan 10 peratus Sinovac, kita dapat kawal dengan baik.

“Begitu juga di Sarawak, jangkitan juga dikenal pasti oleh UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak ) yang menjalankan jujukan genomik penuh mengesahkan ia varian Delta tetapi kita menggunakan vaksin Sinovac dan ia berkesan menurunkan kes kemasukan ke hospital, menurunkan kes kemasukan ke ICU (unit rawatan rapi), penggunaan alat bantuan penafasan dan kematian,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja ditahan langgar anggota polis, cuba lari sekatan jalan

DUA remaja ditahan selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di Taman Panchor...

More Articles Like This