ADA satu kisah yang berlaku pada tahun 1921. Tentang seorang lelaki bernama Earle Dickson. Merupakan pekerja biasa di syarikat Johnson & Johnson.
Dickson sudah berkahwin. Isterinya bernama Josephine. Namun, isterinya mudah cuai sewaktu di dapur. Acap kali jarinya luka ketika menghiris makanan.
Waktu itu, yang boleh dilakukan hanya membalut luka tersebut dengan kain, lalu dilekatkan pita pelekat agar kain itu tidak tercabut. Namun, apabila tangan Josephine yang luka banyak bergerak untuk melakukan kerja-kerja rumah, dengan mudah balutan itu akan tanggal semula.
Pening kepala Dickson dibuatnya. Terasa letih asyik membalut semula balutan luka yang tanggal di jari isterinya. Lalu dia cuba mencari cara yang lebih praktikal.
Dia menggunting kain kasa menjadi kecil, sekadar cukup untuk menutup luka kecil. Kemudian ia dilekatkan pada tengah-tengah pita pelekat. Lalu Dickson menutupnya dengan kain krinolin yang berfungsi sebagai pencegah kuman.
Setelah itu, barulah dia membalutkannya pada luka kecil di jari isterinya. Ia lebih praktikal kerana pembalut ciptaannya itu lebih kecil, tidak tebal dan tidak mudah tanggal.
Majikannya yang kebetulan melihat hasil balutan pada tangan isterinya menganggap ia penemuan menarik. Lalu Dickson dinaikkan pangkat dan sama-sama membantu mengkomersialkan penggunaan pembalut ciptaannya itu atas jenama Band-Aid.

Ya, dari situlah kisah pembalut luka kecil itu bermula. Jika anda membeli handyplast atau hansaplast atau apa saja jenama lain, ingatlah. Pembalut itu bermula daripada cetusan idea kecil lelaki bernama Earle Dickson.
_____________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam