zahid

DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilihat ‘berjiwa besar’ apabila menyatakan demi kepentingan rakyat dan negara beliau tidak pernah terlintas menjadi Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti besar.

‘Alhamdulillah’ perakuan ini juga bermakna pemimpin dan ahli UMNO kini sudah boleh memikirkan untuk mencari seorang individu yang mempunyai material menjadi Perdana Menteri bagi memimpin parti itu sebagai Presiden.

Ia memandangkan UMNO perlu membuat persiapan daripada sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan sebelum itu mengadakan pemilihan parti mungkin selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Individu tersebut mesti bercita-cita tetapi bukan taksub untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau juga harus mempunyai ‘pakej lengkap’ dari segi penampilan,karisma dan ada sokongan akar umbi, paling penting bukan atau bakal berada dalam  ‘kluster mahkamah’.

Selain itu beliau mesti ada hasrat menjadi Perdana Menteri, kalau beliau tidak ada hasrat itu lebih baik beliau menjadi salah seorang anggota penasihat parti sahaja. Jadi UMNO kena cari calon daripada sekarang.

Penulis yakin Ahmad Zahid pun tidak ada masalah jika ada calon sesuai menjadi Presiden dan ada pakej lengkap serta ada hasrat untuk menjadi Perdana Menteri. Bukan apa tak nak lah, nanti bila UMNO menang kerusi terbanyak dalam PRU-15 tiba-tiba bila ‘check’ rupa-rupanya Presiden tak berhasrat menjadi Perdana Menteri.

Penulis puji sikap Ahmad Zahid yang bak kata orang, ‘pandai mengukur baju di badan sendiri’. Lagipun kalau pun beliau mahu menjadi calon Perdana Menteri belum tentu parti-parti lain akan memberi sokongan.

Cuma bila kata, beliau tidak ada hasrat jadi Perdana Menteri maka kerusi Presiden tidak sesuai untuk beliau sebab sejarah pentadbiran negara membuktikan semua Perdana Menteri datang atau berasal daripada UMNO. Bermula daripada Tunku Abdul Rahman Al-Haj hinggalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut menjadi perhatian apabila Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, UMNO akan mempertimbangkan beberapa calon. Walaupun beliau tidak menyebut calon apa…sudah pasti ia berkaitan dengan jawatan Perdana Menteri.

Ketika ini UMNO sudahpun ada calon iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau ketika ini sudah dilaporkan mempunyai sokongan 100 ahli Parlimen. Maknanya, beliau hanya memerlukan 11 sahaja lagi ahli Parlimen untuk mencapai majoriti mudah iaitu 111.

Justeru kenapa UMNO mahu bersusah payah hendak mencadangkan beberapa nama lain?

Adakah tindakan itu bertujuan menghalang Naib Presiden parti tersebut menjadi Perdana Menteri? Dan kalaulah UMNO mencalonkan nama lain selain Ismail Sabri, adakah calon tersebut akan mendapat sokongan parti-parti lain?

Seperkara lagi, ketika berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepemimpinan UMNO mahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pelantikan anggota Kabinet daripada UMNO berdasarkan hieraki parti.

Semua orang tahu ia ditujukan kepada pelantikan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ke dalam Kabinet. Kedua-dua mereka tidak ada apa-apa jawatan dalam parti.

Tetapi sekarang Ismail Sabri berada dalam hieraki parti. Beliau adalah Naib Presiden UMNO. Nak calonkan Ahmad Zahid, beliau ada kes mahkamah dan tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri, nak calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan – beliau bukan ahli Parlimen, nak calon Datuk Khaled Nordin – beliau kalah dalam PU-14 lalu.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid telah menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri. Adakah mahu lantik ‘Tuan Penasihat BN’? Beliaupun ada kes mahkamah? Jadi siapa?

Dalam keadaan negara memerlukan kerajaan segera ditubuhkan, UMNO tidak harus bermain teka-teki. Kenapa mahu mencari jalan susah sedangkan jalan mudah sudah di hadapan mata. Apakah pemilihan calon Perdana Menteri daripada UMNO ini dilakukan dengan mengambil kira ‘kesan’ kepada pemilihan parti akan datang? Penulis hanya bertanya jangan marah…

Sebelum ini, Ahmad Zahid dan 14 lagi ahli Parlimen UMNO menolak Kerajaan PN kerana tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan menganggap Kerajaan PN menderhaka kepada institusi Raja.

Tetapi sekarang Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Kerajaan PN sudah tidak ada.  Yang akan wujud ialah kerajaan yang akan diterajui atau diketuai oleh UMNO sebagai PM, di mana Ismail Sabri mendapat sokongan parti-parti termasuk Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA dan MIC sebagai calon Perdana Menteri,  jadi apa lagi masalahnya?

Lagipun sebelum ini, kepemimpinan UMNO juga ‘bising’ bila tidak mendapat jawatan tinggi ketika Kabinet PN mula dibentuk dahulu. Mereka berhujah sepatutnya sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak, parti itu patut diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan sekadar menteri kanan. Ada pula yang berkata, UMNO sepatutnya menerajui kerajan -maksudnya jadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

Tetapi Ismail Sabri sudah dilantik sebagai TPM dalam Kerajaan PN dan sekarang dicalonkan menjadi PM, jadi apa masalah UMNO tidak mahu terus sahaja mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu?

Kenapa mahu menyulitkan keadaan ketika negara dan rakyat tengah susah? Tak kanlah selepas krisis akibat usaha menjatuhkan Perdana Menteri, sekarang mahu mewujudkan pula krisis bagi pencalonan Perdana Menteri?

Cukuplah…jangan sampai nanti rakyat benci kepada UMNO dan dianggap parti yang tidak habis-habis cetus masalah politik. Sudahlah sebelum ini UMNO dituduh punca Kerajaan PN tumbang, tak kanlah nak tambah lagi dengan soal calon Perdana Menteri pula

Tolonglah sedar…UMNO kalah dalam PRU-14, ditolak rakyat hingga hilang kuasa yang digenggam. Kemudian diberi peluang ‘menumpang kuasa’ dan kini diberi peluang untuk berada ‘di puncak kuasa’ – apa lagi UMNO mahu? Bersyukurlah..