SEKITAR tahun 1820, James Edmonds Saunders dan isterinya berhijrah ke Alabama, Amerika Syarikat. Saunders merupakan golongan peladang dan berasal dari Georgia.
Bertahun-tahun berusaha, akhirnya Saunders mewarisi sebuah kawasan ladang berkeluasan melebihi 600 ekar. Namanya mula dikenali sebagai seorang yang berpengaruh di kawasan itu.
Saunders mengimpikan sebuah rumah agam yang gah untuk kediaman keluarganya. Pada tahun 1858, dia memulakan kerja-kerja pembinaan rumahnya yang terletak di atas sebuah bukit di dalam kawasan ladangnya.

Pembinaan rumah itu menggabungkan seni bina Itali dan Yunani, menggunakan teknik paling moden pada zaman itu.
Di bahagian belakang rumah agam tersebut, dibina sebuah menara kecil. Dibina juga sebuah jambatan batu yang menghubungkan antara menara itu ke rumah Saunders.

Menara itu adalah rumah kepada para hamba abdi Saunders. Disebut juga, bila Saunders berdiri di atas menara itu, dia akan menjerit kepada para pekerjanya untuk memberi arahan. Dari atas menara itu juga Saunders akan meninjau kawasan ladangnya.
Ketika itu, rumah agam Saunders yang digelar Rocky Hill Castle ini merupakan antara binaan yang mewah. Tetapi, lambang kemewahan itu tidak seiring dengan kisah di sebaliknya. Rocky Hill Castle disebut sebagai salah satu kawasan berhantu yang popular di Alabama.
Dikatakan rumah agam ini direka oleh seorang arkitek berbangsa Perancis. Ada yang menceritakan setelah tamat pembinaan rumah ini, Saunders enggan menjelaskan bayaran arkitek tersebut.
Tidak lama kemudian, arkitek itu mati. Sejak itu, rumah agam ini mula diganggu entiti ganjil. Pelbagai bunyi aneh sering kedengaran terutamanya dari arah tingkat bawah tanah. Kononnya, roh arkitek itu tidak tenang dan datang mengganggu ketenteraman keluarga Saunders.

Namun, bukan itu saja gangguan yang berlaku di rumah tersebut. Apabila perang meletus pada tahun 1861, rumah ini dijadikan sebagai hospital sementara untuk merawat para tentera yang cedera. Malah, tentera yang mati di situ turut dikebumikan di kawasan tersebut.
Kerana itu tidak hairanlah ramai yang mengatakan pernah terlihat jelmaan tentera berkeliaran di situ. Begitu juga dengan bunyi dentingan rantai yang selalu dipakai golongan hamba abdi.
Selain itu, jelmaan yang digelar Lady in Blue turut dikatakan berkeliaran di rumah ini. Bayangan wanita serba biru itu sering muncul di kawasan tangga atau bilik bawah tanah. Roh wanita itu dikatakan mencari-cari kekasihnya yang hilang.
Sejak Rocky Hill Castle dibiarkan kosong tidak berpenghuni, rumah ini sering menjadi tumpuan ahli paranormal.
Selepas Saunders meninggal dunia pada tahun 1896, rumah itu diwarisi oleh keturunannya. Yang terakhir adalah cucunya, Dr. Dudley Saunders.
Namun, Dr. Dudley tidak tahan tinggal di rumah agam itu dengan segala gangguan misteri yang berlaku. Menurut penduduk di situ, doktor tersebut meninggalkan rumah itu pada tahun 1920-an kerana tidak tahan dengan gangguan.
Juga diceritakan, isteri Dudley yang tertekan pernah bertindak berani dengan bertanya seorang diri di dalam rumah tersebut, “Bersuaralah jika ada roh di sini!”
Tidak lama selepas dia berkata begitu, kedengaran satu suara halus di tepi telinganya menjawab, “Puan, saya ada di sini!”
Selepas kejadian itu, mereka tidak tunggu lama, terus mengemas barang dan berpindah keluar.

Sejak itu, Rocky Hill Castle terbiar begitu saja. Pun begitu, dikatakan roh-roh yang tidak tenang masih terus menghuni rumah tersebut.
Orang yang pernah tinggal dalam kabin berdekatan rumah agam itu mengatakan, mereka sering terdengar bunyi aneh dari arah rumah itu, termasuk bunyi dentingan piano.
Ada juga yang menyebut, terdapat sebuah terowong rahsia di bawah rumah yang menjadi laluan untuk hamba abdi melarikan diri.
Pada tahun 1935, jurugambar Alex Bush telah datang ke Rocky Hill Castle yang sudah lama tidak berpenghuni. Dia merakamkan foto-foto di sekitar rumah itu termasuk di bahagian luar dan dalam. Ini kerana rumah agam itu akan dikelaskan sebagai salah satu binaan bersejarah untuk Historic American Building Survey.
Apa yang mengejutkan, dalam foto-foto yang dirakam Alex, terlihat banyak entiti. Salah satu yang paling mengejutkan ialah gambar entiti yang menyerupai seorang lelaki memakai baju berkolar. Foto itu jelas kelihatan di bahagian kanan pada gambar ruangan pintu dalam rumah tersebut.

Masa akhirnya mula menenggelamkan kemewahan rumah agam yang gah satu ketika dulu. Setelah berpuluh tahun ditinggalkan, akhirnya pada tahun 1961, rumah ini dirobohkan oleh pemilik baru yang telah membeli kawasan tersebut.
Dengan itu, berkuburlah kisah hantu arkitek, hantu tentera, hantu hamba abdi dan hantu Lady in Blue yang menyelingkari rumah itu sejak dahulu.
Cuma, sehingga sekarang ramai masih tertanya-tanya, siapakah bayangan lelaki yang muncul dalam gambar yang dirakam Alex itu. Adakah dia arkitek yang membina rumah itu? Atau mungkinkah itu adalah roh Saunders?
________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

