PAKATAN Harapan (PH) mengulangi komitmen untuk memperkukuh gabungan politik itu dan terus berada di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi.
Menurut Majlis Presiden PH dalam kenyataan, persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) turut akan dipergiat termasuk melibatkan perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepemimpinan dan calon serta strategi memenangi mandat rakyat.
Pada masa sama, Majlis Presiden PH berkata, gabungan itu juga akan mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘khemah besar’.
Konsep tersebut berdasarkan agenda reformasi dan kepentingan rakyat.
“Usaha menggembleng tenaga menerusi kaedah ‘khemah besar’dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang mesti diberikan keutamaan.
“Ia mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Baca artikel berkaitan: PH kembalikan UMNO ke tampuk kuasa? Malang – Tony Pua
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkata, gabungan itu juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan membina dan bertanggungjawab.
Katanya, ia sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa eksekutif terus dilaksana.
Majlis Presiden PH turut menjunjung kasih atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang telah dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua 105 Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama mencalonkan Anwar tempoh hari tanpa kira parti dan perbezaan pandangan politik demi kepentingan rakyat serta negara.
“Mesyuarat hari ini membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air di samping penularan wabak COVID-19 terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi, di samping usaha pemberian vaksin yang perlu dipertingkat.
“PH turut risau akan masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

