TERAJU Bumiputera Corporation (Teraju) menjalinkan kerjasama strategik dengan SME Bank Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM200 juta kepada usahawan bumiputera.
Kemudahan dana itu yang berada di bawah program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera (BSC) adalah untuk meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang ekonomi yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Pada masa sama, objektif utama kerjasama itu juga bagi memastikan usahawan bumiputera di sepanjang rantaian bekalan merangkumi sektor borong dan runcit, penjagaan kesihatan serta logistik diperkukuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman berkata, kesemua sektor yang diberi tumpuan dalam kerjasama tersebut merupakan sektor ‘ekonomi pandemik’ yang sangat berpotensi dan relevan untuk diceburi bumiputera.

Kata beliau, pembiayaan itu juga merangkumi bidang logistik dalam sektor borong dan runcit serta penjagaan kesihatan di mana penyertaan kaum bumiputera masih rendah.
“Industri logistik sedia ada menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan 40,000 syarikat, namun hanya 5,000 syarikat atau 12.5 peratus adalah milik bumiputera.
Baca artikel berkaitan: Teraju, RHB Islamic peruntuk dana RM126 juta kepada PKS
“Sedangkan kalau kita lihat, bidang-bidang ini penting dalam keadaan semasa. Saya rasa amat rugi jika bidang yang berdaya saing ini tidak dapat disertai bumiputera di atas sebab kekangan aliran tunai dan sebagainya.
“Teraju juga rasa bertuah kerana SME Bank dan Bank Muamalat akan bersama-sama kita melonjakkan penyertaan bumiputera dalam sektor ini yang kita dah lama ketinggalan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu menyaksikan Md. Silmi mewakili Teraju sementara SME Bank diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail.
Sementara itu, Bank Muamalat pula diwakili Ketua Bahagian Perbankan, Nor Hamidah Abu Bakar.
Usahasama Teraju bersama SME Bank melalui program BSC dalam Sektor Borong & Runcit adalah kesinambungan kepada program dana TERAS sejak 2012 yang bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dalam keseluruhan rantaian bekalan bagi sektor borong dan runcit termasuk logistik.
Kolaborasi Teraju bersama Bank Muamalat pula merupakan program BSC dalam sektor penjagaan kesihatan merangkumi produk dan perkhidmatan.
Fokus utama kerjasama dengan Bank Muamalat itu pula adalah untuk mencari penyelesaian menangani isu-isu utama dan cabaran yang dihadapi PKS bumiputera di sepanjang rantaian bekalan ini terutama bagi perolehan bekalan pada harga berpatutan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

