UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang kini dipantau Kementerian Ekonomi akan dipindahkan untuk menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri menyifatkan pemindahan Teraju ke JPM itu bertujuan memantapkan pemantauan program pembangunan bumiputera khususnya inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Menurut Perdana Menteri, langkah tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha pemerkasaan institusi bumiputera.
Beliau berkata, usaha tersebut telah dimulakan melalui pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).
“Sehingga kini, pencapaian keseluruhan PuTERA35 telah mencecah 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan.
“Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda pembangunan bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat berkenaan turut dimaklumkan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah membelanjakan sebanyak RM49.2 bilion tahun lalu khususnya melalui perolehan daripada vendor dan pembekal bumiputera.
Pada masa sama, kata beliau, komitmen pelaburan GLIC dalam perniagaan bumiputera ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebeumnya.
Beliau memberitahu, ia termasuk menerusi inisiatif Larian Ganti Bumiputera yang bertujuan memperluas akses pembiayaan dan pelaburan kepada usahawan bumiputera di setiap peringkat pertumbuhan.
“Khazanah Nasional Berhad pula akan melancarkan Dana Ciptawan dengan peruntukan RM200 juta bagi menyokong syarikat bumiputera peringkat pertengahan.
“Ia sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu mesyuarat tersebut turut meneliti resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lalu.
Jelas beliau, penelitian lanjut akan dibuat terhadap beberapa cadangan strategik termasuk penubuhan Majlis Tahfiz Negara agar usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

