SELEPAS hampir sebulan bertarung dengan COVID-19, seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan meninggal dunia malam tadi.
Menurut hantaran di Facebook KKM, kakitangan itu, Shakiera Zulkifli bertugas di Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM.
“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Shakiera Zulkifli, salah seorang staf di Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta yang kembali ke Rahmatullah, al-Fatihah,” kata KKM.
Baca artikel berkaitan: Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19
“Covid is real as it can get…” 15 ahli keluarga Beego dijangkiti virus Covid-19
Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, CKAPS pula mengesahkan Allahyarham Shakiera pulang ke Rahmatullah selepas bertarung dengan wabak COVID-19 selama hampir sebulan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang staf CKAPS, Puan Shakiera Zulkifli telah pulang ke Rahmatullah selepas bertarung dengan wabak COVID-19 selama hampir sebulan.
“Semoga Allahyarham diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang muqarrabin. Takziah kepada keluarga beliau. Al-Fatihah,” kata hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah jam 9.20 malam tadi.
“Allahyarhamah merupakan seorang staf yang komited terhadap tugasan yang diamanahkan.
“Tutur kata yang sentiasa bersopan santun dengan rakan sekerja dan klien, menjadikan beliau disenangi oleh semua pihak yang berurusan dengannya.
“Semoga Allahyarhamah dikurniakan keampunan, ditempatkan di kalangan orang-orang yang diredhai-Nya dan urusan keluarga Allahyarhamah dimudahkan semuanya.
“Satu kehilangan besar kepada Bahagian Amalan Perubatan, Program Perubatan, KKM. Al-Fatihah,” ujar Noor Hisham menerusi Facebook beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

