MALAYSIA #QuranHour tahun ketujuh berlangsung hari ini dari studio TV Al-Hijrah sebagai penyiar rasmi, dengan membawakan rumusan daripada Allah melalui surah Al-Mulk dan tujuh surah Musabbihat sebagai formula menuju kejayaan umat Islam melalui misi ‘Malaysia Berbudi dan Penyayang’, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021.

Setiap tahun, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebagai penganjur utama akan memilih satu surah utama bagi misi #QuranHour dan pada tahun ini, surah Al-Mulk yang bermakna ‘Kerajaan’ menjadi surah utama yang diangkat bagi membawa misi tersebut.

World #QuranHour pada 6 Mei lalu memfokuskan kepada Surah Al-Mulk dengan pengisian tentang tiga perkara iaitu keberkahan, ingat mati dan terus melakukan kebaikan (Ahsanu Amal).

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sasaran Malaysia #QuranHour adalah untuk rakyat Malaysia beragama Islam, di dalam dan luar negara kerana mereka adalah penduduk majoriti di dalam negara ini.

“Lebih 20 juta orang beragama Islam daripada 32.7 juta rakyat Malaysia. Kita perlu bangkit menjadi model untuk merawat rakyat kerana bersama dengan kita ada mukjizat luar biasa iaitu Al-Quran.

“Malaysia #QuranHour adalah seruan untuk berinteraksi dengan al-Quran selama satu jam sebagai permulaan sehingga lahir karakter Muslim sejati dengan panduan al-Quran,” katanya.

Sebanyak 3,548 lokasi berdaftar di dalam negara yang menyertai program Malaysua #QuranHour

Hussamuddin turut mengucap setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas sokongannya terhadap program Malaysia #QuranHour dalam usaha membina Keluarga Malaysia yang berbudi dan penyayang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran kali ini terus meneroka formula daripada Surah Al- Mulk melalui tadabbur al-Quran dengan al-Quran, iaitu memahami panduan lanjut daripada tujuh Surah Al-Musabbihat sebagai formula kejayaan untuk negara ini.

“Surah Al-Musabbihat adalah surah yang dimulakan dengan tasbih, iaitu puji syukur kepada ALLAH. Surah terakhir dalam tujuh surah ini, Surah Al-A’la membawa makna Yang Paling Tinggi. Pada ayat 14 dan 15 dalam surah yang sama, ia membawa solusi daripada Ilahi agar kita sentiasa berzikir dan solat,” katanya.

“Pelaksanaan #QuranHour bagi dua tahun terakhir ini berlaku dalam musim pandemik Covid-19. Pada tahun ini, kes kematian yang tinggi berbanding tahun lepas, membuat kesedaran untuk hidup bersama al-Quran lebih bermakna lagi.

“Berita kematian saban hari semakin dekat dengan kita, ia membuatkan kita berasa amat dekat dengan perintah ingat mati daripada Surah Al-Mulk. Ia mendorong kita agar berusaha untuk melakukan kebaikan berterusan (Ahsanul Amala) dan menjadi motivasi untuk mencipta kejayaan,” katanya

Pada tahun ini hampir semua media utama seperti TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Harakah, Nu Ideativ, IKIMfm, Zayan FM News Straits Times Press (NSTP) dan Denaihati.com terus menyokong pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

Penaung bagi Malaysia #QuranHour 1443H/2021 adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi, iaitu Islamic Tourim Centre (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia (MAPAM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia Tourism Council, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

Marhaini berkata, Malaysia #QuranHour adalah sebuah produk Malaysia yang mana dari sinilah tercetusnya World #QuranHour ke peringkat dunia dan telah diadakan di lebih 300 lokasi di luar negara, mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial pada 2019.

“TV AlHijrah memainkan peranan besar di dalam merealisasikan hasrat kempen iaitu satu jam bersama al-Quran setiap hari melalui My #QuranTime setelah lima tahun pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

“Pada lima tahun awal, pelaksanaan kempen dijalankan dengan kerjasama erat bersama majlis agama negeri dan organisasi. Program tersebut diadakan secara fizikal dan berkumpul beramai-ramai di lokasi terpilih.

“Namun sejak dua tahun ini, fokusnya adalah setiap rumah dan organisasi dapat mengikuti melalui tayangan di TV Al-Hijrah, Astro Oasis, Bernama TV, RTM serta digital di FB Sinar, Bernama Radio, Radio IKIM, WorldQuranHour dan Denaihati Network serta ramai juga yang melakukan secara atas talian Google Meet, YouTube, Zoom dan Facebook,” katanya.

Program Malaysia #QuranHour yang bersiaran selama sejam ini menampilkan pentadabbur, Ketua Pegawai Penyelidik, WUIF, Fazrul Ismail dan tetamu jemputan Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Farid Ravi Abdullah untuk memberi pengisian ilmu.

Manakala bacaan surah Al-Mulk dan dua Surah Musabbihat dibimbing oleh Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Orang ramai juga berpeluang turut serta secara langsung Malaysia #QuranHour secara atas talian di platform Zoom.

Sebanyak 3,548 lokasi berdaftar di dalam negara yang menyertai program tersebut termasuk organisasi seperti Sahabah Al-Quran, Rumah Ngaji, sekolah dan individu.

Antara agensi yang mendaftar ialah Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MAPAM) di semua perpustakaan negeri dan daerah di seluruh negara, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Penjara Malaysia (25 penjara), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Daerah dan sekolah seluruh negara, Bahagian Kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) termasuk 37 Institusi Kanak-kanak JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, LPPKN dan Institut Sosial Malaysia.

Manakala sebanyak 18 lokasi berdaftar di luar negara dengan kerjasama Kementerian Luar Negara, Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di luar Negara. Negara yang turut serta termasuk Australia, Republik Czech, Brunei, Mesir, Jepun, Singapura, Ireland, Netherlands, Arab Saudi, Korea, Thailand, Oman, Indonesia, China, dan Taiwan. – UtusanTV