MENAIKI Gunung Mat Chincang menggunakan kereta kabel antara tarikan di Langkawi. - Gambar Internet

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai pembukaan Pulau Langkawi kepada pelancong tempatan sebagai projek perintis gelembung pelancongan bermula 16 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau dan seluruh warga kementerian amat menyambut baik berita gembira tersebut kerana ia membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan yang dirancang dilaksanakan segera bagi memulih semula industri pelancongan negara.

“Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan pembukaan sektor pelancongan di lain-lain destinasi di bawah program “gelembung pelancongan” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan termasuk apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” katanya dalam kenyataan akhbar yang disiarkan di Facebook hari ini.

Nancy Shukri

Katanya, pengumuman itu merupakan berita gembira kepada kementerian dan juga penggiat industri tersebut yang turut melibatkan pekerja yang telah lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restauran di pulau peranginan tersebut akibat krisis pandemik COVID-19.

“Kebetulan juga hari ini saya dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar diberi taklimat oleh Pengurusan Tertinggi MOTAC yang diketuai oleh Ketua Setiausaha, Datuk Dr. Noor Zari Hamat tentang Pelan Pemulihan Pelancongan yang berpaksikan kepada Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN),” katanya.

Katanya, beliau yakin pembukaan sektor pelancongan domestik yang akan dibuat secara berperingkat mengikut fasa tersebut akan memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan.

“Pulau Langkawi dipilih sebagai projek ‘testing ground’ untuk menyemarakkan kembali industri yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 memandangkan pulau itu terasing (isolated),” katanya sambil menambah ia juga akan memudahkan urusan pemantauan.

Katanya, projek destinasi rintis dipilih tersebut mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

“Sekiranya projek rintis Langkawi ini berjalan dengan jayanya, saya percaya ianya dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana “seeing is believing”,” katanya. – UtusanTV