Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang dirakam berhampiran jambatan pejalan kaki Pintasan Saloma (Saloma Link). GAMBAR: Abd Razak Aid

OLEH: DATUK DR. HASAN MAD

DI Barat, sejak 1973 lagi Prof. Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif (Forum Ekonomi Dunia (WEF) cuba menjuarai agenda stakeholders corporation, menerusi Manifesto Davos 1973, bagi mengimbangi agenda Shareholders Corporation, tajaan blok kapitalis.

Beliau gagal, tapi kekal cekal untuk terus memperjuangkan agendanya itu. Semasa Forum Davos WEF 2020, beliau lancarkan semula agenda itu atas nama Manifesto Davos 2020. Kali ini ia dapat sambutan banyak pihak, terutama dalam kalangan puak Barat sendiri.

Beza di antara kedua-dua agenda itu, satu perjuangkan kesaksamaan hak dan peluang mengecapi kemakmuran, manakala Shareholders Corporation ialah agenda puak kapitalis bagi mengaut kekayaan berdasarkan kemampuan seseorang berbuat demikian.

Dengan agenda global kini lebih terarah kepada pembinaan kemakmuran yang saksama dan lestari, bukan lagi kepada pembangunan dan kemajuan fizikal semata-mata, banyak institusi global termasuk WEF Davos dan Legatum Institute of Prosperity, London, semakin rancak memperjuangkan agenda kemakmuran dan kesejahteraan yang lebih adil, setara dan saksama.

Masalah kita di Malaysia, pemisahan di antara dua darjat yang digambarkan oleh Klaus Schwab itu lebih dahsyat. Hampir keseluruhan sistem pemerintahan, kepimpinan dan tadbir urus negara masih dikuasai blok kapitalis dan sekutunya. Ada di antara mereka ini malah bersuara lantang mahukan DEB dihapuskan sama sekali.

Dalam komuniti bumiputera itu sendiri masih ramai dalam kalangan pemerintah, pemimpin dan pentadbirnya masih bersekutu atau dikuasai oleh blok kapitalis ini. Ramai di antara mereka ini sekalipun asalnya amat pro agenda bumiputera, bila memegang sesuatu jawatan dalam kepimpinan, kerajaan atau GLC, mereka memilih untuk menjadi liberal, untuk mudah baginya diterima bersekongkol dengan blok tersebut.

Dulunya blok ini hanya dalam kalangan penjajah Barat dan sekutu dagang mereka dalam kaum India dan Cina saja, tapi kini blok kapitalis ini adalah versi tempatan, diterajui pemain tempatan di bawah navigasi blok Barat yang sama.

Mereka inilah puncanya banyak agenda bumiputera gagal dilaksanakan dengan berkesan, hingga ke hari ini.

Banyak fakta boleh membuktikan sangkaan ini. Dipaparkan dua daripadanya dalam rencana ini.

Pertama, mari kita sama-sama sorot kerosakan atau kelesuan di antara 13 resolusi utama KEB 1 1965 yang diperbaharui MPM semasa Kongres KEB 1 1965-2020, pada 1 Oktober 2020:

● Mengapa MARA gagal sebagai agensi ulung Agenda Bumiputera, walhal ia diperlengkapkan dengan Akta MARA 1966 yang membolehkannya berbuat apa saja atas nama Agenda Bumiputera?


● Siapa yang bunuh BBMB, walhal ia ditubuhkan hasil KEB 1 1965, dengan hasrat untuk kemudian kelak bank itu dipindah milik kepada institusi Bumiputera?


● Siapa yang swastakan Pernas dan kemudian dilenyapkan?


● Siapa yang lesukan FAMA hingga ke hari ini gagal kuasai pemasaran sektor pertanian terutama dalam kalangan Bumiputera?


● Siapa yang bunuh UDA?


● Siapa yang lesukan Bank Pertanian untuk menjadi bank nadi pembiayaan sektor pertanian dan luar bandar yang masih didominasi oleh Bumiputera?


● Siapa yang pinggirkan Masyarakat Orang Asli?


● Siapa yang gagalkan hak dan kesaksamaan peluang pekerjaan dan peluang bisnes Bumiputera bersama MNC dan seumpamanya?


● Mengapa sukar PLC Bumiputera tembusi Pasaran Modal Malaysia, sehinggakan pemilikan ekuiti Bumiputera terus merosot, usahkan nak capai 30% yang disasarkan?

Jika sesiapa dapat menjawab persoalan itu nescaya tahu tangan-tangan hitam siapa yang menggagalkan agenda Bumiputera. Dan mereka inilah juga yang sering bertempik kononnya Bumiputera masih bergantung kepada tongkat.

Kedua, jika tempikkan mereka itu benar mengapa statistik yang dipaparkan di bawah ini masih begini jadinya, sekalipun setelah lebih 60 tahun merdeka.

Bumiputera warga negara kelas ketiga
Sumber: Statistik Bumiputera 2019 oleh DOSM
Perangkaan: Purata pendapatan isi rumah bulanan 2016 (RM)

Mengapa ICU masih lesu menjalankan tugasnya, menyelaras perlaksanaan bagi memastikan misi agenda Bumiputera yang digariskan dalam DEB 1970 tercapai? Statistik ini membuktikan ICU serta beberapa agensi pusat yang bertanggungjawab telah gagal. SERU pula telah dibubar maka tiadalah agensi yang dipertanggungjawabkan menganalisis prestasi agenda-agenda penting berkaitan sosioekonomi negara, termasuk DEB.

Mengapa agensi-agensi itu gagal? Ini kerana minda peneraju utama agensi-agensi itu masih dikawal oleh blok kapitalis yang menguasai pemerintahan, kepimpinan dan pentadbiran negara. Roh Bumiputera mereka juga diragui sama ada telah luntur atau kian kabur.

Jangan salahkan tenaga kerja atau usahawan Bumiputera mengapa statistik itu masih kekal begitu. Setiap pemerintah, pemimpin, pentadbir dan pengurus GLC wajib bertanggungjawab mengapa statistik itu masih begitu.

Pada 1 Oktober ini MPM akan menghasilkan reviu genap setahun selepas Kongres KEB 1 1965-2020, untuk sama-sama ketahui, apa dah jadi sekalipun 13 resolusi utama itu telah diperbaharui. Adakah pencapaiannya juga sudah mula diperbaharui? Sama-sama kita nantikan terbitan reviu itu nanti.

64 tahun Merdeka. Siapa yang merdeka? Bumiputera belum merdeka. Siapa jaga Bumiputera? Kita tanya kita.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram