INGATKAH anda apa yang berlaku pada tarikh 1 Ogos 2002? Atau apa yang sedang anda lakukan pada 10 Februari 1999?
OK, tak perlu ingat terlalu jauh ke belakang. Tiga bulan lepas, pada 26 Jun, apa yang anda lakukan? Bagaimana keadaan cuaca pada tarikh tersebut? Adakah, cerah, mendung atau hujan?
Sudah tentu anda kata mustahil untuk mengingatinya, bukan? Perkara yang telah berlaku dalam tempoh sebulan yang lalu pun sukar untuk diingati, apatah lagi yang bertahun-tahun ke belakang.
Secara logik, seseorang manusia mampu mengingati dengan baik sesuatu momen bermakna yang pernah berlaku dalam hidup. Tetapi, untuk mengingati secara tepat apa sahaja perkara yang berlaku sepanjang kehidupan adalah sesuatu yang mustahil.
Tetapi berlainan dengan seorang lelaki dari Amerika Syarikat yang bernama Orlando Serrell. Berbeza dengan keupayaan memori manusia normal, Serrell mampu mengingati sebarang kejadian yang pernah berlaku dalam hidupnya, waima ia hanya sekadar suatu perkara yang remeh-temeh sekali pun.

Perkara ini tidak tertakluk kepada pengalamannya semata-mata, tetapi beliau juga mempunyai ingatan yang sangat sempurna terhadap sebarang maklumat yang diterima sama ada dari pembacaan ataupun sesuatu berita yang didengarinya.
Kesempurnaan ingatan yang dimiliki Serrell itu bukan disebabkan oleh faktor genetik atau semula jadi, tetapi dia memiliki kebolehan itu tanpa sengaja ketika beliau masih kanak-kanak lagi.
Ketika berusia 10 tahun, Serrell sama seperti kanak-kanak yang lain. Dan seperti rakan-rakan yang seusia dengannya, dia aktif dan gemar bermain permainan besbol. Namun, tanpa diduga, permainan itu jugalah yang telah mengubah kehidupannya.
Pada 17 Ogos 1979, ketika dia sedang berlari untuk mendapatkan mata run, bahagian kiri kepala Serrell telah terkena lantunan bola besbol yang dipukul rakannya. Dia jatuh tersembam ke tanah. Namun tidak sampai seminit, Serrell bingkas bangun dan menghabiskan lariannya.

Impak daripada kejadian itu, kepalanya sakit berdenyut selama beberapa bulan, tetapi beliau menganggap ianya tidak serius. Namun, selepas kesakitan itu berakhir, Serrell merasakan sesuatu telah berlaku pada dirinya.
Apa yang pelik, dia dapat mengingati secara terperinci apa sahaja yang pernah dilakukannya sebelum ini, walau sudah berapa lama pun ia berlaku. Seolah-olah, kotak memorinya tidak pernah padam dan sentiasa berputar memaparkan kembali setiap detik yang berlaku dalam hidupnya.
Sehingga Serrell meningkat dewasa, tahap ingatannya terlalu sempurna. Bukan sekadar tarikh atau lokasi kejadian, tetapi dia dapat merungkai secara terperinci sesuatu perkara yang terjadi termasuklah hari, masa, keadaan sekeliling serta cuaca pada hari tersebut. Dengan kebolehan itu, beliau telah dikenali sebagai ‘manusia kalendar’ kerana mampu mengingati tarikh beserta kejadian pada hari tersebut.
Kebolehan luar biasa lelaki ini telah menarik minat seorang saintis dari University of Sydney, Australia, Dr. Allan Whitenack Snyder untuk mengkajinya dengan lebih lanjut. Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Minda di universiti yang sama mempunyai kepakaran dalam neurobiologi, penyelidikan memori ingatan serta tingkah laku manusia.

Pada mulanya, perkara ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Bagaimanapun, apabila Serrell menunjukkan reaksi yang positif terhadap soalan-soalan yang dikategorikan sebagai mustahil untuk dijawab, ia telah membuatkan Dr. Allan menjadi bingung, seterusnya memperakui kebolehan istimewa lelaki kulit hitam ini.
Sebelum itu, Dr. Allan pernah membuat kajian yang mendalam mengenai ingatan manusia yang boleh dipengaruhi oleh hormon dan emosi. Dalam hipotesis awalnya, beliau menyangka kekuatan ingatan Serrell juga dipengaruhi oleh dua elemen berkenaan. Namun, ternyata ia tidak berlaku kerana lelaki ini juga mampu mengingati perkara-perkara yang tidak mempunyai sentimen peribadi kepadanya.
Malah, Serrell juga mampu menghuraikan fakta lengkap terhadap beberapa siri peristiwa penting yang berlaku sekitar tahun 80-an dalam perjalanan hidupnya. Sesetengah perkara mungkin memberi makna kepada dirinya, tetapi kebanyakannya tidak.
Jelas Dr. Allan, besar kemungkinan hentakkan bola besbol yang dialami Serrell sewaktu dia kanak-kanak dahulu telah menyebabkan saraf otaknya yang berfungsi untuk memproses maklumat telah mengalami kerosakan.
Kesannya, ia membuat otak Serrell sentiasa mengingati atau mengimbas kembali apa sahaja maklumat dan fakta dalam kotak memorinya tanpa sebarang sekatan, halangan atau gangguan.
Menurut Dr. Allan lagi, setiap manusia di dunia ini secara asasnya mempunyai kekuatan memori seperti Serrell. Kesemua maklumat yang diterima sebenarnya tersimpan rapi di dalam otak seseorang. Tetapi, maklumat yang mampu diterjemahkan oleh otak manusia adalah sangat sedikit. Hanya dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja ia mampu berkembang dengan sempurna.
Keadaan yang dialami Serrell ini disebut juga sebagai ‘sindrom savant’, iaitu keadaan di mana seseorang itu mengalami kecacatan atau kecederaan otak yang menunjukkan penghidapnya memiliki kemampuan tertentu melebihi tahap kebiasaan manusia normal.

Walaupun kebolehan ini merupakan sesuatu perkara yang luar biasa dan hebat, namun dari satu sudut lain, ia sedikit sebanyak turut memberi impak negatif kepada kehidupan Serrell.
Ingatannya yang terlalu sempurna membuatkan lelaki ini sukar ditipu, malah membuatkan dirinya cenderung untuk tidak mempercayai orang lain. Perkara tersebut ada kalanya membuatkan orang lain tidak selesa untuk menghampirinya.
Untuk mengingati semua perkara yang pernah berlaku dalam kehidupan terdahulu juga bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Ini kerana Serrell sering mengalami kemurungan kerana sebarang memori pahit yang pernah dilaluinya tidak dapat dilupuskan dari mindanya. Hal ini sedikit sebanyak membuat dia tertekan dan boleh menjejaskan kesihatannya.
____________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

