KALAU sebut pasal lanun, tak lari dikaitkan dengan harta karun. Salah satu yang popular diperkatakan sejak dahulu ialah kisah harta karun Kapten Kidd.
Mengikut sejarah yang dicatatkan, Kidd merupakan seorang pemilik kapal perang yang akhirnya bertukar menjadi lanun pada akhir kurun ke 17.
Kidd atau nama sebenarnya William Kidd dilahirkan di Greennock, Scotland pada tahun 1645. Kisah awal kehidupannya tidak begitu diketahui. Namanya mula dikenali pada awal tahun 1690-an apabila menjadi antara orang yang dihormati di kalangan para pedagang di sekitar New York, Amerika Syarikat.
Menjelang tahun 1695, Kidd mendapat tawaran sebuah kapal perang peribadi daripada Gabenor New York, Lord Bellomont supaya menumpaskan kegiatan lanun yang merompak kapal-kapal dagang di sekitar lautan Hindi.

Selain mendapat sebuah kapal perang yang diberi nama Adventure Galley, Kidd turut ditawarkan ganjaran yang lumayan sekiranya dapat merampas harta hasil rompakan lanun.
Pada 1696, Kidd bersama anak kapalnya meninggalkan London dan memburu lanun di Lautan Atlantik sehingga ke pantai New York, sebelum berpatah balik hingga ke Laut Merah.
Pada penghujung tahun yang sama, kapal Kidd kembali ke Lautan Atlantik untuk memburu lanun yang bermaharajalela di perairan tersebut dan merampas harta mereka.
Ketika berada di lautan tersebut, mereka bertembung dengan kapal tentera laut di raja England. Menyedari kapal yang dinaiki Kidd itu daripada England, kapten yang mengetuai kapal tentera laut di raja itu meminta bantuan anak kapal Kidd bagi menggantikan tentera mereka yang terkorban.
Mengikut undang-undang England, tentera laut di raja mempunyai hak untuk mengambil separuh dari tenaga kerja dari mana-mana kapal yang mengibarkan bendera England.
Bimbang misinya tergendala, pada sebelah malam Kidd dan anak kapalnya menyusup secara senyap belayar meninggalkan kapal skuad tentera laut di raja tersebut. Disebabkan tindakan Kidd meninggalkan skuad itu, kapten pasukan tentera laut menyangka dia merancang sesuatu yang jahat dan telah menyebarkan khabar angin bahawa Kapten Kidd adalah seorang lanun sebaik sahaja kapal mereka sampai ke Afrika.
Pada Januari 1697, kapal Kapten Kidd sepatutnya berlabuh di Cape of Good Hope(Tanjung Harapan), Afrika. Malangnya, mereka tidak dapat singgah kerana skuad tentera laut di raja England berada di situ.
Kidd mengarahkan anak kapalnya menukar laluan ke sebuah lokasi lain iaitu ke pulau Madagascar yang menjadi syurga lanun, terletak kira-kira 2000 batu di bahagian timur laut, lautan Hindi.
Pada masa yang sama, anak kapal Kidd mengalami situasi getir di mana bekalan makanan dan air semakin berkurangan. Bimbang keadaan itu berterusan, Kidd mengambil keputusan untuk menyerang dan merompak mana-mana kapal dagang yang melalui kepulauan itu.
Setelah banyak kapal-kapal dagang ditawannya, Kidd masih tidak berpuas hati dan merancang belayar ke laut Merah. Kali ini, dia mensasarkan sebuah kapal dagang yang penuh dengan muatan berharga dijangka melalui laut Merah.
Pada penghujung Januari 1698, sebuah kapal dagang yang dikenali Quedah telah diserang oleh Kidd sewaktu melalui laut tersebut. Kidd telah merampas banyak harta yang mencecah 7000 pound sterling seperti sutera, kain kasa, kain belacu, gula, candu, besi dan banyak lagi. Bukan hanya barang-barang, Kidd turut merampas kapal Quedah itu dan menamakan semula sebagai Adventure Prize.
Berita mengenai serangan Kidd dan anak kapalnya ke atas kapal dagang Quedah sampai kepada pihak kerajaan England. Keadaan bertambah buruk apabila kapal dagang tersebut adalah milik seorang pedagang yang berpengaruh bernama Muklis Khan.
Mukhlis yang tidak berpuas hati terhadap serangan itu meminta pihak England menggantikan semua kerugian yang dialaminya.
Serangan itu telah mengubah pandangan kerajaan England dan mengisytiharkan Kidd sebagai lanun yang paling dikehendaki. Kidd telah dibuang negeri dan hidup dalam buangan.

Setahun kemudian, Kidd yang berada di pulau Carribean telah dimaklumkan bahawa dia dibenarkan kembali ke New England. Namun, sebelum Kidd pulang ke tanah airnya, dia dikatakan telah berlabuh di beberapa tempat sekitar persisiran New England. Difahamkan, lokasi yang paling kerap dilawatinya adalah sebuah pulau yang dikenali sebagai ‘Gardiners’ untuk menyembunyikan sebahagian besar hartanya.
Bagi mengelirukan pihak berkuasa, Kidd dikatakan berhubung dengan gabenor Massachusetts melalui peguamnya yang menyatakan, harta rampasan telah didermakan dan menyerahkan satu dokumen sulit hartanya bernilai 30,000 pound sterling.
Setelah segalanya selesai, Kidd pulang ke tanah airnya dan menyerah diri kepada gabenor Bellomont di Boston.
Namun, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Dokumen sulit miliknya hilang secara misteri sewaktu perbicaraan kesnya di mahkamah. Ekoran itu, Kidd telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman bunuh.
Mengikut rekod dari kerajaan England, terdapat sepucuk surat yang ditulis Kidd menyatakan akuan sumpahnya yang mengaku menyimpan harta yang bernilai lebih 100,000 pound sterling.
Surat tersebut ditulis pada 7 Mei 1701 sewaktu Kidd menunggu hukuman gantung dalam sebuah sel di penjara Newgate.
Pada tarikh 23 Mei 1701, Kidd akhirnya mati digantung dan mayatnya dibiarkan busuk dalam sebuah sangkar besi untuk tatapan umum.

Di mana harta Kapten Kidd?
Selepas kematiannya, timbul pelbagai kepercayaan bahawa Kapten Kidd telah meninggalkan harta karun. Sepanjang tempoh tiga abad, kegiatan memburu harta karun yang Kapten Kidd tidak pernah berhenti. Pencarian selalunya dilakukan di sekitar pantai New York dan kawasan berhampiran.
Apakah harta karun Kapten Kidd benar-benar wujud?
Ya, memang benar Kidd pernah menanam sebahagian kecil hartanya. Difahamkan, harta tersebut telah dijumpai oleh seorang gabenor New York, Lord Bellomont, di sebuah tempat di Pulau Gardiner, New York, Amerika Syarikat. Kawasan ini dikatakan pernah menjadi tempat persinggahan Kidd sebelum beliau menyerah diri.

Berita mengenai penemuan harta itu telah mendapat perhatian daripada kerajaan England yang kemudian mengarahkan supaya sebahagian harta milik Kidd yang ditemui itu dihantar ke England untuk diselidiki.
Selain Pulau Gardiner, terdapat empat buah pulau lain turut dikaitkan sebagai lokasi harta karun Kidd disimpan. Pulau tersebut adalah Pulau Charles, Pulau Block, Pulau Clark dan Pulau Money. Malangnya, kesemua pulau ini tidak mengandungi maklumat yang cukup untuk membuktikan kewujudan harta karun Kidd.    Â

Bagaimanapun, terdapat bukti yang mengesahkan Kidd dan anak kapalnya pernah berlabuh di sebuah lokasi yang dikenali Pulau Grand Manan di Kanada. Seawal tahun 1875, pulau ini terkenal dan menjadi tumpuan para pemburu harta karun Kapten Kidd. Malangnya, kedatangan pemburu harta karun ke pulau berkenaan tidak menemui sebarang petunjuk wujudnya harta karun Kidd di situ.
Terdapat juga bukti menyebut Kidd pernah menyerang sebuah lokasi di kepulauan Tokara di selatan Kagoshima, Jepun. Lokasi tersebut dikenali sebagai pulau Takarajima atau turut digelar Treasure Island.
Dipercayai Kidd pernah berlabuh di pulau berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan. Namun, kedatangan Kidd ke pulau itu tidak disenangi oleh penduduk tempatan. Malah, mereka menolak untuk menyerahkan bekalan yang dikehendaki oleh Kidd dan anak kapalnya.
Berang dengan tindakan penduduk di pulau itu, Kidd telah menyerang dan membakar mereka hidup-hidup. Semua harta milik penduduk di pulau terbabit turut dirampas.

Dikatakan selepas peristiwa serangan itu, Kidd dan anak kapalnya telah menyembunyikan harta rampasan di sebuah gua yang terletak di dalam pulau tersebut sebelum kembali ke England untuk menjalani hukuman.
Pada tahun 1983, terdapat satu lagi petunjuk mengatakan sebahagian harta Kidd berada di sebuah pulau yang dikenali Phú Quốc, di kepulauan Vietnam. Dakwaan ini cuba dibuktikan oleh dua orang pemburu harta karun, Cork Graham dan Richard Knight yang melakukan ekspedisi menjejaki harta karun Kidd. Malangnya, ekspedisi tersebut gagal apabila kedua-duanya telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam.
Knight dan Graham telah ditangkap dan disabitkan kesalahan berlabuh di wilayah Vietnam secara haram dan telah dikenakan hukuman penjara 11 bulan dan denda sebanyak $10,000.
Pada 13 Disember 2007, sekumpulan ahli arkeologi dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat mendakwa telah menemui sebuah bangkai kapal di kepulauan kecil Catalina Carribean, Republik Dominican.
Bangkai kapal tersebut ditemui pada kedalaman 10 kaki. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik itu mendapati, bangkai kapal terbabit terbukti adalah kapal dagang Quedah.

Muncul pula khabar angin mengatakan Kapten Kidd ada menyembunyikan empat keping peta di dalam sebuah barang perabot miliknya. Menurut dua orang adik beradik yang mengendalikan sebuah muzium lanun di Britain, Guy dan Hubbert Palmer mendakwa, menemui empat keping peta kulit yang tersembunyi di dalam laci meja tulis milik Kidd.
Bagi membuktikan penemuan itu asli, Guy dan Hubbert telah membawa empat keping peta tersebut ke Muzium Britian untuk menjalani ujian radiokarbon. Hasil daripada ujian berkenaan mendapati, peta itu adalah asli. Malangnya, peta terbabit sudah terlalu lusuh dan rosak, menyukarkan untuk dibaca.
Pihak muzium Britian telah membuat salinan baru dengan menyurih semula empat keping peta berkenaan. Ia telah diteliti sejak beberapa generasi pencari harta karun, namun sehingga kini tidak menunjukkan apa-apa petanda lokasi sebenar harta karun Kapten Kidd.
Berikutan itu, pihak perpustakaan Britain telah menyangkal keaslian peta yang dijumpai oleh Guy dan Hubbert dan mengemukakan andaian bahawa empat keping peta tersebut adalah palsu dan satu penipuan.

Bagaimanapun, pemburu harta karun, Paul Hawkins, tidak bersetuju dengan andaian itu. arber. Jelasnya, empat keping peta itu sememangnya asli dan tidak perlu dipertikaikan kesahihannya.
Hawkins juga mendakwa berjaya mengesan lokasi sebenar harta karun Kidd. Katanya, lokasi tersebut adalah sebuah kawasan pulau yang berada di sekitar perairan Laut Hindi.
Sama seperti sebelumnya, ia hanyalah satu khabar angin. Sehingga kini, tiada sesiapa yang berjaya menemui harta karun Kapten Kidd selain dari di pulau Gardiner .
________________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

