Program vaksin IPT: Bakal pelajar, PPV keliru wajib atau tidak?

Dari Penulis

ANALISIS BERITA

MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 tidak akan dibenarkan kembali menyambung pengajian di kampus.

Beliau berkata, mereka perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan hanya dibenarkan kembali ke kampus selepas menerima dos vaksin lengkap.

Katanya, selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan minggu lepas, kerajaan bersetuju supaya pelajar IPT yang masih belum divaksin, boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di PPV terbuka.

“Pelajar sedia ada hanya perlu menunjukkan kad matrik pelajar, manakala bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT,” katanya yang dipetik dalam wawancara bersama salah sebuah akhbar hari ini.

Kenyataan itu selari dengan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba beberapa hari lepas bahawa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah membuat keputusan membenarkan para pelajar dan bakal pelajar terbabit untuk ‘walk-in’ di PPV.

Sudah tentu, pengumuman itu menyebabkan ibu bapa dan para pelajar mula ‘menyerbu’ PPV di kawasan mereka kerana universiti dijangka akan mula dibuka mulai bulan depan, selaras dengan pengumuman pembukaan sekolah biasa mulai 3 Oktober ini.

Tinjauan di PPV sekitar Lembah Klang semalam mendapati, ribuan ibu bapa yang anak mereka telah menerima tawaran memasuki universiti kecewa kerana tidak dibenarkan mendapat vaksinasi oleh pihak PPV dengan alasan umur mereka belum mencukupi umur 18 tahun.

Walaupun mereka menunjukkan surat tawaran menyambung pengajian di universiti dan menyatakan mengenai kenyataan menteri tetapi permintaan itu tidak dilayan kerana menurut pengurusan PPV, mereka tidak menerima sebarang arahan rasmi mengenai perkara tersebut.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang arahan dari pihak penyelaras program vaksin atau Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi vaksin kerana semua bakal pelajar universiti berumur di bawah 18 tahun, kecuali untuk remaja di Sarawak,” kata seorang petugas di PPV Axiata Arena, Kuala Lumpur.

BERITA BERKAITAN Vaksinasi walk-in di klinik kesihatan Lembah Klang mulai 16 Sept

Menurut seorang pelajar yang enggan namanya dikenali tersebut, dia telah mendapat tawaran meneruskan pengajian di salah sebuah universiti di Perak dan kini sedang mengikuti pengajian secara maya.

“Selepas pengumuman menteri bahawa pelajar dan bakal pelajar universiti boleh ‘walk-in’ untuk mendapat vaksin, saya dan rakan-rakan mula mencari PPV yang memberi vaksin Pfizer kerana dikatakan vaksin itu sesuai untuk remaja,” katanya yang datang ke PPV yang terletak di Bukit Jalil itu dengan keluarga.

Katanya, walaupun dia gagal tetapi ada beberapa orang rakannya yang telah berjaya mendapat suntikan tersebut di PPV tertentu walaupun mereka belum benar-benar cukup umur 18 tahun dengan hanya menunjukkan surat tawaran universiti.

Malahan, ada sebuah PPV di Putrajaya pula memberi alasan bekalan telah habis kepada bakal pelajar universiti yang hendak mendapat suntikan secara walk-in walaupun ketika itu baharu pukul 11 pagi.

Apabila dimaklumkan mereka tidak akan dibenarkan memasuki universiti kerana tidak divaksin, pegawai bertugas berkata: “Itu bukan masalah saya.”

Keadaan-keadaan tersebut membingungkan ibu bapa dan pelajar kerana ada PPV yang menerima pelajar untuk disuntik dan ada yang tidak. Mana satu yang betul?

Mengapa Kementerian Pengajian Tinggi masih berdiam diri mengenai status pembukaan universiti seolah-olah tiada apa yang berlaku, walhal pihak Kementerian Pendidikan telah mempunyai tarikh jelas mengenai pembukaan sekolah?

Bukan hanya tiada kenyataan mengenai pembukaan universiti, malahan bakal pelajar kini kebingungan tanpa mengetahui adakah mereka perlu divaksin sebelum memasuki universiti atau tidak? Jika perlu, sila beri maklumat jelas mengenai perkara tersebut.

Bagi ibu bapa, disebabkan anak mereka tidak divaksin, kerja-kerja persediaaan untuk membeli pakaian dan peralatan yang diperlukan untuk memasuki universiti juga sukar dilakukan kerana kebanyakan kedai tidak membenarkan sesiapa yang tidak lengkap dos memasuki kedai. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pengendali cuai cuba lari selepas peserta maut terjun tanpa tali keselamatan

DUA pengendali aktiviti terjun tali bertindak melarikan diri ke kawasan hutan selepas seorang wanita maut akibat terjatuh dari ketinggian...

More Articles Like This