PENINGKATAN kes COVID-19 di seluruh dunia dan negara ini nampaknya menyebabkan ramai masyarakat mula mengambil berat mengenai ancaman pandemik tersebut dan mula mengambil langkah-langkah perlu bagi membendung penularannya.
Selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak dan sentiasa membasuh tangan dengan hand sanitizer, semakin ramai yang mula menggunakan penyembur sanitizer atau penyembur nano.
Penyembur yang berharga kira-kira antara RM70-RM120 itu dipromosikan sebagai alat terbaik untuk membunuh kuman yang mungkin terdapat dalam kenderaan, rumah, barangan atau pakaian yang dipakai ketika keluar rumah.
Bagaimanapun adakah dakwaan itu benar? Selain itu, bagaimana pula kesannya kepada manusia apabila ada juga pengguna bertindak menyemburkan semburan tersebut kepada badan manusia dengan alasan untuk membunuh virus yang mungkin melekat kepadanya?
Isunya, bukan saja keberkesanannya diragui dalam membanteras virus terutamanya COVID-19, malah membimbangkan bahan kimia yang terkandung dalam cecair itu terbukti membahayakan saluran pernafasan manusia.
Semakan mendapati produk cecair nyahkuman menggunakan sebatian seperti benzalkonium chloride (BAC) atau nanosilver dijual secara berleluasa di platform e-dagang atau media sosial sedangkan tiada kajian saintifik mengesahkan keberkesanannya membasmi virus COVID-19.
Pengamal perubatan, Dr Sashini Seeni yang merupakan ahli panel portal kesihatan doctoroncall.com.my menyatakan, Nano Mist Spray bukanlah alat penyembur khas untuk mengurangkan risiko jangkitan virus.
“Tiada kajian yang menujukkan keberkesanan Nano Mist Spray dalam mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya ketika ditanya keberkesanan produk itu.
Beliau berkata, anda digalakkan agar mengunakan bahan pencuci yang sebetulnya iaitu hand sanitizer dengan peratusan alkohol yang disarankan iaitu 65 peratus ke atas.
Sebelum ini, Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendedahkan tiada bukti menunjukkan sebatian nanosilver berkesan mencegah COVID-19.
Namun, apa yang mengelirukan sebahagian peniaga turut meletakkan salinan laporan ujian makmal dan Lembaran Data Keselamatan Bahan (MSDS) serta mendakwa produk nyahkuman berkenaan diperakui KKM untuk mengukuhkan dakwaan mereka mengenai ‘keberkesanan’ bahan itu.
Pensyarah Jabatan Kimia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo pula berkata, keberkesanan alat penyembur nano untuk membunuh virus Covid-19 bergantung kepada jenis cecair nyahkuman yang digunakan.
Katanya, kebanyakan penyembur nano menggunakan cecair nyahkuman ‘amonium kuaterner’ seperti BAC atau berasaskan klorin seperti sodium dichloroisocyanurate (NaDCC) dan sodium hypochlorite.
“Keberkesanan BAC yang digunakan untuk membunuh virus COVID-19 masih diragui. Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak mengesyorkan penggunaan BAC untuk membunuh virus ini disebabkan ketiadaan bukti keberkesanan yang kukuh.
“Berbeza dari BAC, cecair berasaskan klorin seperti NaDCC pula memiliki keberkesanan yang lebih baik untuk membunuh virus COVID-19,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, kedua-dua bahan kimia berkenaan memberikan kesan yang membahayakan saluran pernafasan dan paru-paru pengguna apatah lagi jika ia digunakan dengan kerap.
“Dari aspek keselamatan, BAC dan NaDCC yang ditukarkan kepada bentuk kabus menerusi penggunaan bersama alat penyembur itu lebih mudah untuk dihidu dan membahayakan saluran pernafasan manusia.
“Kajian menunjukkan sebatian BAC jika terhidu boleh menyebabkan ‘bronchoconstriction’ terutama kepada penghidap asma, manakala NaDCC pula menyebabkan kerengsaan hidung, tekak dan paru-paru,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kementeriannya masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan mengenai status keberkesanan cecair nyahkuman yang digunakan dalam penyembur semburan nano.
“Memang cecair ini belum disahkan berkesan lagi jadi kita nasihatkan pengguna jangan terpedaya sehingga terbukti bahan itu berkesan,” katanya. – UtusanTV

