Oleh DATUK MOHD.YUSOF ISMAIL

Satu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan yang telah ditandatangani bersama oleh pihak parti – parti dalam kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dengan parti – parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) merupakan satu bentuk dimensi baru dalam lanskap politik negara.

Ia bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari titik penyelesaian demi mencapai matlamat untuk kesejahteraan rakyat.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan merangkumi Pemerkasaan Pelan Covid-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Bagi saya, kita sebagai ahli politik perlu segera mengadaptasi dimensi baru politik ini dalam memikul tanggungjawab untuk membina negara yang lebih sejahtera dan stabil demi generasi anak cucu kita di kemudian hari .

Sudah terlalu lama kita bertelegah dalam suasana politik lama yang sebenarnya tidak memberi banyak menafaat kepada rakyat malah telah membantut beberapa usaha kerajaan sebelum ini terutama Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kebaikan rakyat hanya kerana pertelegahan politik yang merugikan .

Datuk Mohd.Yusof Ismail

Pada tahun 1971 selepas peristiwa 13 Mei 1969 , Perdana Menteri pada ketika itu Tun Abdul Razak juga telah melakukan perkara yang hampir sama dengan mengajak semua parti – parti duduk bersama untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil selepas peristiwa itu dan dari usaha tersebut terbentuknya BN dengan membawa agenda Dasar Ekonomi Baru yang hasilnya sehingga sekarang kita rasai .

Sebagai ahli parti , menjadi kewajiban untuk terus mendokong ideologi perjuangan dan memperkuatkan parti kita namun kita juga perlu membuka ruang kepada lain – lain parti untuk mereka bersama – sama membina negara ini selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan negara.

Jika ahli parti UMNO tidak dapat mengadaptasi dimensi politik baru ini maka kita akan jauh tertinggal di belakang .

Zaman sekarang bukan zaman kerajaan sahaja yang tahu segalanya tapi zaman di mana semua orang tahu segala maklumat dan perkara yang berlaku . Rakyat kini sudah terbuka pemikiran mereka dengan teknologi maklumat hanya di jari , sudah pasti mereka juga mempunyai pelbagai maklumat .

Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik tersebut yang merangkumi enam perkara , UMNO Bahagian Alor Setar amat yakin Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Ismail Yaacob dengan slogan “Keluarga Malaysia” akan berupaya memastikan pemulihan negara berjalan secara lancar dan inklusif.

Semoga Negara kita kembali ke landasan yang sebetulnya dalam memacu kejayaan demi untuk Agama , Bangsa dan Negara .

  • Dato’ Mohd Yusof Ismail adalah Ketua UMNO Bahagian Alor Setar