Ayob Khan menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan dilakukan Polis Johor, kelmarin. GAMBAR: FACEBOOK POLIS JOHOR

POLIS Johor berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah yang baru beroperasi kira-kira sebulan dalam tujuh serbuan berasingan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) polis Johor antara pukul 1.45 petang hingga 11 malam itu telah membawa kepada tangkapan 10 suspek warga tempatan.

Menurut beliau, sindiket berkenaan tumpas bermula dengan tangkapan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama sejumlah rampasan dadah dan peralatan memproses dadah dengan semakan rekod mendapati suspek mempunyai lapan rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Susulan daripada sebuan pertama, kata beliau, polis telah membuat enam lagi serbuan berasingan di mana tujuh lelaki tempatan dan dua wanita berumur antara 20 hingga 34 tahun telah berjaya ditangkap.

Ayob Khan berkata, lima daripada sembilan suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Modus operandi kegiatan ini adalah dengan menyewa rumah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan stor penyimpanan serta memproses dadah untuk pasaran tempatan.

Baca artikel berkaitan: Pencemaran kimia: Bahan dipercayai dibawa dari lokasi lain – Ayob Khan

“Polis juga berjaya merampas 25.2 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM336,000 dan 14 kg serbuk ecstasy bernilai RM700,000 dengan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 172,666 penagih.

“Selain itu, kita juga merampas precursor, peralatan dan mesin memproses dadah, empat kereta pelbagai jenis dan tiga unit barang kemas dengan jumlah keseluruhan rampasan bagi operasi ini adalah RM1.23 juta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, seorang suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan suspek lain diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Katanya, polis juga sedang mengesan empat dalang sindiket dan akan melakukan operasi susulan.

“Siasatan kes ini masih berjalan termasuk sama ada mereka menggunakan khidmat pakar kimia. Kalau ikut perisikan, kita dah dapat kesan sejak dua bulan lalu dan daripada situ kita kembangkan.

“Jika lihat kepada peralatan yang digunakan kita dapat kenal pasti makmal ini masih di peringkat awal dan mereka juga memproses dadah jenis kiub yang dipercayai untuk diseludup ke pasaran luar negara,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram