LUBNAN sebuah negara di barat laut Asia yang berjiran dengan Syria dan Israel. Buminya yang subur di hujung negara-negara Arab sering dilanda konflik.

Sekitar tahun 80-an berlakunya peristiwa Syabra dan Syatila, iaitu pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin yang berlindung di dua kem di Beirut Lubnan oleh tentera rejim zionis Israel yang diketuai Ariel Sharon.

Renteten peristiwa berdarah itu, berlarutan peperangan di antara Israel dan para pejuang Hizbullah di selatan Lubnan. Ditambah pula dengan pergolakan saudara yang berlaku di antara penganut syiah dan penganut Sunnah berlaku saban tahun.

Setiap kali tiba pilihan raya, akan berlaku pergolakan, huru hara dan pergeseran besar sesama rakyat dalam negara mereka.

Di tengah-­tengah pergolakan dan konflik ini, lahirnya seorang lelaki yang menjadi tokoh dakwah dan gerakan Islam sedunia bernama Dr. Fathi Yakan.

Anak kelahiran Tripoli, salah satu bandar di Lubnan ini dilahirkan pada 9 Februari 1933. Beliau membesar dalam sebuah keluarga yang kuat pegangan agamanya. Dr. Fathi Yakan berkahwin dengan Dr. Mona Hadda Yakan dan dikurniakan lima orang anak.

Bermulanya Medan Dakwah

Dalam bidang pendidikan, Dr. Fathi memperoleh ijazah dan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan. Namun, minat mendalamnya terhadap agama menyebabkan beliau melanjutkan pengajiannya dalam bidang bahasa Arab dan Pengajian Islam.

Dr. Fathi Yakan.

Beliau mula berjinak dengan gerakan Islam sejak tahun 50­an lagi ketika usianya sekitar 20­an. Ketika itu beliau bertemu dengan Amir Ikhwanul Muslimun Syria,  Sheikh Dr. Mustafa Sybaie. Pertemuan itu menimbulkan minat mendalam beliau untuk menubuhkan cawangan Ikhwan di Lubnan.

Pada awal tahun 60-an, Dr. Fathi bersama beberapa rakannya menubuhkan Jemaah Islami Lubnan yang merupakan cawangan Ikhwan Muslimin Lubnan.

Pada awal penglibatannya, Dr. Fathi pernah tidak bersetuju dengan gerakan Islam yang mengambil jalan demokrasi dengan bertanding dalam pilihan raya. Namun, setelah melihat suasana yang telah berubah dan tindakan merubah kerajaan daripada luar tidak berjaya, beliau mula menerima pilihan raya sebagai salah satu cara untuk meletakkan Islam di tempat berkuasa.

Rentetan itu, beliau mula bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1992 dan memenangi kerusi parlimen yang ditandinginya. Beliau menjadi ahli parlimen Lubnan sehingga tahun 1996.

Dr. Fathi Yakan.

Ketokohan Dr. Fathi Yakan menyebabkan dia sering dijemput oleh negara­-negara Islam dan gerakan­-gerakan Islam seluruh dunia untuk menghadiri seminar, muktamar dan pelbagai kegiatan dakwah, termasuk di Malaysia.

Ramai pemimpin­-pemimpin negara Arab sering merujuk kepada beliau di dalam banyak perkara. Malah gerakan dan Ikhwanul Muslimin sedunia di London, Mesir, Jordan, Palestin, Pakistan, Indonesia dan seluruh dunia sering merujuk beliau dalam perkara­perkara baru yang memerlukan ijtihad ulama.

Menjadi Tempat Rujukan

Dalam dunia pendidikan, Dr. Fathi aktif menulis buku-­buku dakwah yang menjadi rujukan pelbagai bahasa di dunia ini. Bukunya yang terkenal ‘Maza Ya’ni’ atau ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ telah diterjemahkan kepada puluhan bahasa dan dicetak ratusan ribu naskhah yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia.

Selain itu, terdapat dua buah lagi bukunya yang terkenal iaitu ‘Golongan yang tercicir di sepanjang jalan dakwah’ dan ‘Bahtera penyelamat dalam kehidupan dakwah’.

Antara 3 buku tulisannya yang terkenal dan dialih bahasa ke serata dunia selain menjadi rujukan penting para pendakwah.

Ketiga-­tiga buku ini menjadi rujukan penting para pendakwah di seluruh dunia. Di Malaysia, ketiga­-tiga buku ini menjadi teks rujukan usrah pelajar-­pelajar universiti dan ahli-­ahli gerakan Islam.

Setiap pendakwah kebiasaannya akan menyimpan buku ini dan mengkhatamkan kesemua tulisan Dr. Fathi Yakan sebelum bergiat aktif di medan dakwah.

Buku tulisanya memberikan kefahaman kepada umat Islam tentang ciri dan sifat sebenar yang perlu ada sebagai seorang Muslim. Turut dijelaskan, kewajipan beramal dengan ajaran Islam serta kewajipan bergabung dengan gerakan Islam. Ia ditulis dengan bahasa yang mudah difahami dan mudah disampaikan kepada masyarakat oleh pendakwah.

Tidak hairanlah walaupun sudah bertahun­-tahun diterbitkan, bukunya masih sentiasa ada permintaan di pasaran buku dengan cetakan­-cetakan baru pelbagai bahasa. Selain tiga buku ini, terdapat lebih 35 buah buku lagi yang ditulis oleh beliau yang mendapat tempat di seluruh dunia Islam.

Diancam Kerana Tulisan

Tulisan dan penglibatan Dr. Fathi Yakan dengan gerakan Islam telah mendatangkan rasa terancam pemerintah di negaranya. Ini menyebabkan beliau pernah dipenjarakan beberapa ketika.

Semasa dalam penjara, ada yang mengatakan beliau diseksa dengan diseterika ke seluruh tubuh badannya.

Bukan sekadar menulis, beliau juga menubuhkan sebuah universiti bersama isterinya. Universiti Jinan di utara Lubnan itu diketuai  oleh isterinya sendiri Dr. Muna Haddad Yakan. Universiti ini menerima ramai pelajar dalam pelbagai bidang dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Di lapangan politik pula, beliau bukan sekadar memainkan peranan dalam parlimen Lubnan.

Dr. Fathi kerap dijemput untuk menghadiri persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan isu­-isu yang melanda dunia.

Beliau juga menjadi pendamai dalam beberapa krisis dan pergolakan di Lubnan.

Antaranya peperangan di antara tentera Lubnan dengan Jemaah Fathul Islami berjaya dihentikan hasil rundingan beliau.

Selamat Tinggal Dunia

Pada petang 13 Jun 2009, dunia diselubungi kesedihan apabila mendapat berita  kematian Sheikh Dr. Fathi Yakan.

Dalam keadaan berita beliau sakit tidak pernah didengari, tiba­-tiba sahaja beliau pergi meninggalkan dunia menghadap yang Maha Esa. Khabarnya beliau diserang angin ahmar dan menghembuskan nafas terakhir setelah beberapa ketika berada di hospital.

Berita kematian beliau begitu cepat disiarkan oleh media di seluruh dunia. Kematian beliau diratapi oleh ratusan juta umat Arab dan Islam kerana pemergian beliau dalam keadaan dunia Islam masih memerlukan sentuhan beliau.

Kematian Dr. Fathi diratapi ratusan juta umat Islam di seluruh dunia.

Dalam keadaan umat Islam yang ditindas di seluruh dunia, kematian ulama­-ulama seperti ini sangat menyedihkan.

Jenazah beliau dikebumikan di kawasan perkuburan di Trablas Utara Lubnan. Ribuan umat Islam Lubnan mengiringi jenazah beliau. Begitu juga dengan tetamu­-tetamu kehormat dari pelbagai negara.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare