PENGGUNAAN katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di seluruh negara juga akan menurun selepas kadar vaksinasi rakyat meningkat. - Foto FB Noor Hisham Abdullah

JUMLAH jangkitan harian COVID-19 di negara ini dijangka akan berada di bawah 1,000 kes menjelang Disember depan, sekiranya imuniti kelompok berjaya dicapai pada akhir Oktober.

Ia berdasarkan Model Pemerhatian dan Jangkaan Kes Harian COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, hari ini.

Graf pada model itu menunjukkan kes akan mula menurun menjelang hujung bulan ini sehingga berada di bawah paras 1,000 kes menjelang akhir tahun.

Model itu meramalkan jumlah kes COVID-19 akan menurun ke bawah 1,000 sehari jika 80 peratus populasi negara menerima dos lengkap vaksin COVID-19 pada hujung bulan depan, dengan anggaran purata keberkesanan vaksin sekitar 70 peratus.

Bagaimanapun, jika tempoh untuk vaksinasi lengkap mencecah 80 peratus populasi berlanjutan sehingga 31 Disember depan, jumlah kes harian diramalkan hanya menurun ke sekitar 3,000 menjelang hujung tahun ini, memetik laporan BH Online.

KKM menerusi portal COVIDNOW, menjangkakan 80 peratus atau lebih 26.1 juta populasi negara akan lengkap divaksin menjelang 12 Disember depan, berdasarkan kapasiti suntikan semasa yang berlegar sekitar 200,000 dos sehari.

Ketika ini, jumlah purata kes harian bagi tempoh tujuh hari menunjukkan trend penurunan sejak hujung bulan lalu, selaras peningkatan kadar vaksinasi, khususnya di negeri yang memiliki penduduk yang ramai seperti Lembah Klang.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian bagi seluruh negara adalah 0.98 setakat semalam, sekali gus kekal di bawah 1.0 untuk 16 hari berturut-turut sejak 1 September.

BERITA BERKAITAN Kes COVID-19 naik kepada 19,495, Terengganu hampir 1,000

Bagaimanapun, nilai Rt itu mencatat sedikit peningkatan berbanding kelmarin (0.97) dan Selasa (0.96).

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah lapan negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan, dengan nilai tertinggi direkodkan Sarawak iaitu 1.11.

Ia disusuli Perak (1.04), Terengganu (1.04), Perlis (1.03), Pahang (1.02), Pulau Pinang (1.01), Johor (1.01) dan Kelantan (1.0), selain Kuala Lumpur merekodkan Rt terendah dengan 0.82.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.