tanda lahir

NEVUS OF OTA

Nevus of Ota juga dikenali dengan tompokan hitam atau biru yang timbul di muka terutama di sekitar dahi, mata dan pipi. Ia timbul semasa lahir dan boleh berlaku sebelah atau kedua-dua belah muka. Kadang-kadang kawasan putih mata juga boleh terlibat. Seseorang yang mengalami Nevus of Ota memang boleh mengalami kemurungan, perasaan rendah diri dan ganguan emosi.

Ia lebih kerap berlaku di kalangan orang Asia. Statistik menunjukkan kaum wanita mengalaminya lebih ramai daripada kaum lelaki. 50 peratus daripada kes ini dikesan semasa lahir namun begitu 50 peratus lagi kes timbul lewat semasa remaja. Jika Nevus of Ota ini timbul semasa lahir, ia akan membesar sehinggalah peringkat remaja dan kemudian saiznya kekal.

Nevus of Ota adalah keadaan di mana melanocyte terdapat di kawasan lapisan dermis kulit. Kadang-kadang ibu bapa dimaklumkan bahawa Nevus of Ota adalah terdapatnya ‘tahi lalat’ di dalam lapisan kulit.

Masa yang paling sesuai untuk membawa anak anda menerima rawatan adalah di peringkat sekolah rendah seawal usia enam tahun. Namun begitu majoriti kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa adalah di peringkat remaja.

Peringkat ini di mana terdapat ‘peer pressure’ dan kesedaran untuk menjaga keterampilan diri adalah menebal. Rawatan yang dilakukan untuk Nevus of Ota adalah dengan menggunakan Laser Q Switched. Rawatan ini memerlukan beberapa sesi bergantung kepada besar dan dalamnya pigmentasi ini. Tetapi lambat laun, pigmentasi ini akan dihilangkan. Yang istimewa adalah, bila ia hilang, ia tidak akan datang lagi.

CAFÉ AU LAIT

Tompok Café Au Lait adalah tompokan pigmentasi yang berwarna coklat atau perang.

Café Au Lait ini mendapat nama daripada warnanya yang seperti kopi yang ditambah susu. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian badan dan saiznya juga berbeza-beza. Berbanding dengan Nevus of Ota di mana pigmentasi berlaku di lapisan dermis kulit (lapisan dalam), Café Au Lait pula adalah hyperpigmentasi di lapisan epidermis (basilar keratinocyte).

Walaupun keadaannya tidaklah seteruk Nevus of Ota, namun begitu ia boleh dihilangkan dengan menggunakan laser seperti Pulse Dye Laser atau Q Switched Laser. Berbanding dengan Nevus of Ota , Café Au Lait lebih mudah dan cepat dihilangkan.

HAIRY NEVUS

Masalah ini timbul semasa lahir lagi, ia merupakan tanda lahir yang paling sukar dihilangkan kerana ia boleh berlaku di kawasan dalam kulit dan lapisan luar kulit. Ada sesetengah orang menjalani pembedahan plastik untuk merawatnya. Rawatan lain adalah dengan menggunakan CO2 Laser atau Erbium Laser.

Namun begitu, hasilnya agak memuaskan di mana 60 ke 70 peratus tanda lahir ini dapat dibuang. Proses rawatan menggunakan laser juga memerlukan banyak sesi. Ia juga boleh datang kembali di masa akan datang. Berbanding dengan Nevus of Ota dan Café Au Lait, rawatan Hairy Nevus akan sentiasa meninggalkan parut.