SHUIB bersama anak-anaknya termasuk Ayash Affan. - Gambar Instagram Shuib Sepahtu

WALAUPUN ramai peminatnya dan arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah tidak sabar hendak menatap wajah bayi terakhir mereka, Ayas Affan tetapi pelawak, Shuib Sepahtu memilih untuk tidak mendedahkannya terlebih dahulu.

Shuib berkata, beliau bukan sengaja hendak merahsiakan wajah bayinya itu tetapi keputusan itu dibuat kerana bayinya masih dalam umur pramatang dan ramai kenalan yang mempunyai pengetahuan agama menasihatkan dia mengangguhkan hasrat itu dahulu.

Shuib berkata, keputusan itu diambil demi keselamatan bayi berusia lebih sebulan itu yang dikatakan boleh terkena penyakin dikenali sebagai ‘penyakit ain’ jika terlalu terdedah kepada orang ramai.

“Tentang wajah Ayash, wallahualam saya tak tahu bila boleh dedahkan.

“Saya ada bertanya dengan beberapa ustaz risau dengan penyakit ain apabila orang puji comel sebab dia belum matang lagi.

“Kalau ikut sunah Nabi SAW pun bayi kecil ni tak perlu ‘expose’ dulu, kecuali keluarga,” katanya selepas majlis bacaan Yasin sempena 40 hari pemergian Allahyarham Siti Sarah pada Jumaat malam.

Untuk pengetahuan, penyakit ain ialah sejenis penyakit berpunca daripada pandangan mata.

Memetik laporan mStar, Shuib berkata, apabila tiba masanya nanti dia tidak keberatan untuk berkongsi hadiah terakhir arwah isterinya kepada umum.

“Saya tahu ramai yang nak tengok wajah Ayash sebab semua orang nak tahu perjalanan cerita dan kronologinya.

“Penghujungnya mesti nak tengok Ayash. Tapi sebab bukan semua orang seronok tengok, mungkin itu (punca) kadang-kadang anak kita sakit.

“Jadi tunggu anak dah besar pandai merangkak dulu,” katanya.

Dalam pada itu Shuib yang pada Januari lalu mengumumkan mula berehat daripada bidang seni berkata, keputusan itu kekal hingga ke satu tempoh yang belum diketahuinya.

Ujar bapa tunggal kepada empat cahaya mata itu, fokus utamanya kini adalah untuk anak-anak selain perniagaan minumannya.

“Saya akan terus berehat daripada bidang seni sebab nak beri tumpuan kepada penjagaan Ayash.

“Ada beberapa program yang saya dah tarik diri sebab taknak nanti apabila kena beri komitmen tapi saya tak dapat. Jadi saya cakap awal-awal dan mereka faham,” katanya.

Menurut Shuib, sebagai bapa kepada bayi pramatang dia perlu memberi tumpuan sepenuhnya agar tumbesarannya tidak terjejas.

“Apabila Ayash dah balik ni penjagaan dia perlu rapi sebab dia masih lagi bayi pramatang.

“Dari segi penjagaan banyak benda nak kena pastikan, tak boleh ada asap… tak boleh kena habuk sebab paru-paru dia masih lagi premature.

“Jadi buat masa sekarang saya tak boleh nak keluar sebab taknak ada benda-benda tak diingini berlaku.

“Perniagaan pula boleh berjalan macam biasa, saya boleh pantau dari rumah dan ada team boleh handle. Lagi pun sudah tiga ke empat bulan saya tak masuk pejabat, mereka faham,” katanya.