KADAR pemberian vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan lancar mengikut perancangan dalam usaha negara mencapai imuniti kelompok.
Usaha itu telah pun menyaksikan lebih 18 juta populasi keseluruhan negara telah pun lengkap divaksinasi, merangkumi 77.5 peratus populasi dewasa.
Statistik lebih 18 juta atau lebih tepat 18.135 juta individu itu turut merangkumi 55.5 peratus populasi keseluruhan telah lengkap menerima dos kedua bagi vaksin dua dos dan satu dos bagi vaksin dos tunggal CanSino.
Sehingga semalam, sebanyak 39.923 juta dos vaksin telah pun diberikan seluruh negara sejak PICK dilancarkan penghujung Februari lalu.
Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 21.861 juta individu atau 66.9 peratus keseluruhan penduduk.
Dari segi pemberian harian, jumlah dos kekal berada di bawah paras 300,000 semalam.

Sebanyak 238,002 dos telah pun diberikan merangkumi 75,986 untuk dos pertama manakala 162,016 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 92.9 peratus.
Baca artikel berkaitan: 17.97 juta individu di Malaysia lengkap divaksin
Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.508 juta atau 77.3 peratus populasi.
JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 1.820 juta (64.6 peratus populasi) di Sarawak; 1.819 juta (48.1 peratus populasi) di Johor; 1.481 juta (37.9 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.099 juta (43.8 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Pulau Pinang menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 999,555 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (917,504) dan 751,806 di Negeri Sembilan.
“Seterusnya, Pahang berjumlah 704,872; Kelantan telah mencatatkan 690,675 lengkap dos kedua dan 610,994 di Terengganu.
“Di Melaka pula, sebanyak 513,981 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 149,699 di Perlis dan 66,984 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.065 juta.
Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.480 juta individu.
Ia diikuti Sarawak 1.946 juta; Sabah (1.929 juta); Perak (1.542 juta) dan Pulau Pinang (1.283 juta).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

