Penulis bersama rakan-rakan Australia memberi taklimat kepada Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa Vietnam ketika meninjau projek perintis pertanian moden di Kun Tom, Vietnam pada tahun 2016.

Minggu lalu, penulis menerima mesej daripada sahabat lama dari Australia yang memberitahu misi latihan kemahiran dan pengeluaran sayur-sayuran serta buah-buahan di Vietnam berjalan dengan jayanya.

Beliau menunjukkan gambar-gambar ladang sayuran berteknologi tinggi di Vietnam yang bukan hanya membekalkan keperluan tempatan, bahkan dieksport ke Australia dengan kuantiti besar.

Kejayaan dua dalam satu (2 dalam 1) ini telah menyentuh perasaan penulis kerana suatu masa dulu iaitu sekitar tahun 2016, penulis pernah bersama mereka menyertai misi kerajaan Australia menjalinkan kerjasama pendidikan dan pertanian di rantau ASEAN.

Malaysia adalah antara negara yang menjadi sasaran kerajaan mereka melalui sistem dagangan dua hala. Setelah mengkaji dan melihat sendiri pencapaian penulis dalam bidang vokasional dan pertanian di Malaysia, Leon Bignell, Menteri pertanian Australia Selatan datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2016 untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara institusi latihan kemahiran pertanian Australia dan penulis.

Oleh kerana penulis mempunyai pengalaman melatih tenaga pengajar vokasional Vietnam pada tahun 2014 di Malaysia, maka pihak Australia juga mempelawa penulis untuk bergabung dengan syarikat-syarikat berkaitan untuk menjayakan misi mereka bagi membangunkan kemahiran pertanian moden di Vietnam.

Penulis berada di Vietnam selama seminggu dengan melawat beberapa wilayah seperti di Kon Tum. Kawasan tanah tinggi tersebut sangat sesuai untuk dijadikan projek tanaman sayur-sayuran berteknologi tinggi. Penulis turut berkongsi pengalaman dengan kolej-kolej vokasional di wilayah berkenaan dalam usaha mempertingkatkan kerjasama antara semua pihak.

Dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa Vietnam pada masa itu, beliau menyatakan penghargaan di atas usahasama melatih guru-guru vokasional mereka. Namun katanya, langkah selanjutnya ialah menawarkan pula kerjasama baru yang lebih terkehadapan iaitu peluang pelaburan mewujudkan industri pertanian moden di Vietnam.

Memandangkan penulis sedang berusaha mewujudkan dua perkara yang sama di Malaysia ketika itu, maka penulis harus berhati-hati supaya syarikat-syarikat pertanian Australia ini memberi tumpuan terlebih dahulu kepada perancangan TVET dan penubuhan syarikat tanaman sayuran dan buah-buahan berteknologi tinggi di Malaysia.

Menyedari langkah drastik kerajaan Vietnam ketika itu, penulis dapat merasakan bagaimana suatu hari nanti mereka akan memintas Malaysia dalam daya saing antarabangsa pada masa depan, maka penulis mempercepatkan usaha mengenal pasti tanah pertanian di Malaysia untuk dijadikan sebagai kompleks pertanian yang merangkumi aktiviti pendidikan, perladangan dan pembangunan usahawan (tanaman komersil) bertaraf antarabangsa.

Setelah berjumpa dengan Menteri Besar Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada penghujung tahun 2016 di PWTC, Kuala Lumpur, penulis diluluskan pajakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) pada tahun 2017 untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 tahun.

Setelah itu, penulis meneruskan gerak kerja untuk menjemput pusat latihan pertanian swasta di Australia serta syarikat pengeluar sayuran yang berjenama dan kukuh di Australia untuk melihat sendiri potensi tanah pajakan berkenaan iaitu di Sungai Galah, Tanjung Tualang, Perak sebanyak beberapa kali.

Malangnya, sikap acuh-tidak acuh SADC yang gagal menandatangani perjanjian pajakan tanah tersebut menyebabkan hasrat tersebut tertangguh. Lebih memalukan penulis apabila terpaksa memaklumkan kepada mereka bahawa tanah tersebut telah dirampas semula tanpa sebab.

Namun semakan penulis baru-baru ini mendapati tanah berkenaan telah diserahkan seratus-peratus kepada tauke yang menjadi kroni pihak tertentu. Penulis tidak hairan kerana plot rampasan tersebut memang sudah dirancang.

Memang pelik bagaimana tauke-tauke sama yang turut menjadi subjek dalam affidavit perbicaraan di mahkamah tinggi Ipoh tidak lama lagi itu, diberikan kelulusan pajakan baru dengan hanya menukar syarikat baru (salin kulit)?.

Kali terakhir, syarikat Australia berkenaan datang ke Kampung Gajah adalah pada tahun 2018, dengan harapan kerajaan baru Pakatan Harapan akan menyelesaikan perjanjian pajakan berkenaan dengan penulis.

Tanpa perlu mengulangi rasa malu kepada pihak di Australia, penulis melupakan hasrat untuk melihat sebuah institusi TVET dan penubuhan cawangan syarikat pengeluaran sayur-sayuran moden Australia di Malaysia selepas itu.

Sehinggalah baru-baru ini, apabila penulis dilaporkan tentang prestasi cemerlang mereka di Vietnam, penulis berasa sebak kerana kejayaan itu sepatutnya dikecapi di Malaysia pada hari ini.

Memandangkan penulis sudah hampir 30 tahun menceburi TVET dan pertanian, penulis dapat merasakan di manakah kedudukan kita hari ini dan masa depan dalam senarai saingan antarabangsa?

Jika 10 tahun yang lalu, mereka sanggup datang ke Malaysia untuk belajar dengan kemajuan kita, kini kedudukan kita jauh di belakang dengan mereka.

Dalam satu kajian yang pernah dibuat oleh pakar perunding antarabangsa iaitu Boston Consultant Group (BCG), kedudukan TVET Vietnam pada tahun 2005-2011 yang melibatkan 45 buah negara di dunia (termasuk yang berstatus negara maju), menunjukkan mereka berada di kedudukan maju dan pesat berkembang berbanding Malaysia.

Pertubuhan Pendidikan Antarabangsa (UNESCO) telah memperakukan kemajuan TVET Vietnam yang begitu drastik dan kepantasan pembangunan pendidikannya di anggap sebagai antara yang terbaik di rantau Asean.

Kadar kemasukan persekolahan rakyatnya pula difahamkan mencecah 99 peratus. Pihak UNESCO turut mengaitkan KDNK Vietnam yang mampu mencecah 6.6 peratus setahun serta kadar pengangguran di bawah 2.5 peratus adalah juga hasil penekanan kejayaan sistem TVET mereka.

Melalui keterbukaan polisi ekonomi di Vietnam, penulis yakin satu gelombang baru dalam industri pertanian bertaraf dunia sedang mula berlaku di Vietnam.

Ramai di kalangan kita yang tidak tahu bahawa ada di kalangan pelarian Vietnam ketika perang tahun 1980an, kini menjadi warganegara Australia yang kaya-raya. Mereka inilah juga kini kembali melabur di Vietnam.

Ini termasuklah sahabat penulis yang berhasrat untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia kerana menghargai jasa Malaysia menyelamatkan mereka sebagai pelarian hanyut di Pulau Bidong, Terengganu 40 tahun lalu. Pendapatan tahunan syarikat pertanian mereka mencecah RM 180 juta setahun di Australia.

Pelbagai inisiatif dan insentif yang disediakan kerajaan Vietnam, usaha mereka membangunkan TVET dan industri ekonomi berasaskan kemahiran TVET juga dapat dipercepatkan dalam masa yang singkat.

Oleh itu, kita sewajibnya belajar daripada peristiwa ini. Akibat kecelaruan politik, dasar negara yang tidak jelas dan sikap tidak kisah kita, apakah kita mahu terus tertinggal di belakang sehingga kita menjadi negara yang dipandang rendah suatu masa nanti?

Penulis terus mengikuti perkembangan sahabat-sahabat di Vietnam dengan rasa bangga terhadap kejayaan mereka ketika ini tetapi jauh di sudut hati berasa sedih dengan masa depan negara kita sendiri.

Namun penulis masih menaruh harapan agar suatu hari nanti, impian tersebut akan menjadi kenyataan. Antara mesej penulis kepada sahabat tersebut baru-baru ini adalah seperti berikut:

“ Saya amat berbangga dengan pencapaian kalian di Vietnam  tetapi saya mengimpikan kejayaan yang sama di Malaysia bersama kalian pada masa depan”.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.