SETAHUN lebih tidak pulang ke Singapura berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 dan terikat dengan komitmen kerja seni, aktor Hisyam Hamid akhirnya berpeluang pulang ke negara kelahirannya.
Pelakon drama Cukup Derita itu berkongsi kembali ke pangkuan isteri dan anak-anaknya pada 27 Julai lalu.
Lebih manis lagi, kepulangannya itu turut mencipta momen indah apabila Hisyam dan isterinya, Melrose Hanafi sempat meraikan ulang tahun perkahwinan ke-15 pada 2 September baru-baru ini.
“Selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di sebuah hotel, saya dapat bertemu dengan keluarga pada 10 Ogos.
“Akhirnya saya dapat melepas rindu yang tak tertanggung selama ini. Bayangkanlah, disebabkan Covid-19, buat pertama kali saya terpaksa menyambut Ramadan dan Syawal tanpa mereka di sisi.
“Selain dapat menghabiskan masa dengan keluarga, saya dapat meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan dengan isteri.
“Kami meluangkan waktu dengan makan malam bersama di sebuah restoran. Semoga perkahwinan kami kekal sampai syurga,” katanya.

Hisyam yang mula meledak menerusi drama Ariana Rose di TV3 itu berkata, dia mahu memanfaatkan masa yang ada bersama keluarga dengan sebaik mungkin.
“Selepas setahun lebih tak bersama keluarga, jadi saya cuba penuhi masa yang ada dengan mereka. Setiap hari ada saja aktiviti yang dilakukan bersama selain berjumpa rakan taulan.
“Rutin harian saya bermula selepas bangun Subuh. Saya akan hantar anak, Nurish Syameliah dan Hayden ke sekolah. Selepas itu, saya bakar kalori dengan berjoging. Tengah hari, saya jemput semula anak-anak dari sekolah.
“Kalau ada masa, saya akan bantu isteri menguruskan butiknya. Malah, saya juga tolong isteri buat sesi siaran langsung (live) di media sosial untuk mempromosikan barangan dijual. Sesekali, saya akan menghantar barangan yang ditempah kepada pelanggan,” katanya kepada URTV.
Sementara itu, berkongsi perkembangan karier seni, Hisyam berkata, ketika ini dia masih menunggu isyarat daripada stesen TV3 dan produksi drama Cukup Derita Itu yang terhenti kerja penggambaran akibat sekatan pergerakan penuh sejak Jun lalu.
Drama arahan Along Kamaludin itu hanya sempat disiarkan hingga episod 20. Baki penggambaran bagi episod 21 hingga 40 masih belum bermula hingga kini.
“Kalau sudah dapat pengesahan untuk memulakan penggambaran, barulah saya akan pulang ke Malaysia,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

