PENYANYI Rap, Joe Flizzow mencuri perhatian rapper terkemuka dunia iaitu Snoop Dogg.

Snoop Dogg atau nama sebenarnya, Calvin Cordozar Broadus Jr, memuji usaha Joe Flizzow dalam memperkasakan muzik hip hop tanah air dengan penubuhan projek 16 Baris yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

16 Baris direalisasikan sebagai satu pentas demi mencari bintang hip hop terbaru Asia Tenggara. Ia menampilkan bakat baharu dunia hip hop dari rantau Asia Tenggara khasnya dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Aksi Snoop Dogg yang sedang menonton episod 16 Baris di laman YouTube telah dikongsi oleh bintang tersohor itu di Insta Story miliknya.

“@16.baris dope show with unsigned international rappers (acara hebat memaparkan rappers antabangsa yang belum ditandatangan),” tulis Snoop.

Adegan itu turut dikongsi oleh Joe sendiri dengan penuh kegembiraan apabila dia mengadakan panggilan maya platform Zoom bersama penyanyi rap tersohor tersebut.

Menerusi sesi temu bual tersebut, Snoop mengatakan tidak sabar untuk bertemu Joe serta rakan-rakan di Malaysia selain turut menyatakan hasrat ingin menghadiahkan rantai.

Sejak menyertai keluarga Def Jam Recordings melalui penubuhan Def Jam Southeast Asia (SEA), usaha Joe dalam menerajui label hip hop tersohor dunia itu semakin menyerlah dan pertemuan bersama Snoop ini menunjukkan kemajuan yang semakin gah.

Jelas terbukti bahawa pihak Def Jam SEA di Asia Tenggara akan bekerjasama dengan lebih dekat bersama pasukan Def Jam di Amerika Syarikat.

Sehingga kini Def Jam SEA membariskan ramai nama-nama besar seperti Joe dari Malaysia, Daboyway dari Thailand, Yung Raja, Fariz Jabba dan ALYPH dari Singapura, serta A.Nayaka dari Indonesia.