SEBANYAK 14,652 kes baharu COVID-19 daripada keseluruhan 14,990 yang dilaporkan hari ini merupakan pesakit yang berada dalam kategori 1 dan 2.

Status terkini kes COVID-19 seluruh negara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jumlah 14,652 kes itu merangkumi 97.7 peratus daripada keseluruhan jangkitan.

Katanya, 338 lagi kes atau hanya 2.3 peratus merupakan kategori 3, 4 dan 5.

Beliau berkata, sebanyak 1,115 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 882 kes disahkan COVID-19 manakala 233 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 618 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 393 sah COVID-19 manakala 225 lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Kes sembuh hari ini juga melebihi jangkitan baharu iaitu sebanyak 19,702 telah dilaporkan sembuh manakala 26 lagi kluster baharu dikenal pasti,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, aspek pengudaraan di semua jenis bangunan merupakan antara perkara penting yang perlu dilihat sebagai salah satu strategi bagi mencapai hasrat kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

Secara umumnya, beliau berkata, terdapat tiga jenis pengudaraan yang terdapat di bangunan termasuk premis perniagaan dan ruangan tempat kerja iaitu pengudaraan semula jadi; sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal dan sistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal.

Baca artikel berkaitan: 14,990 kes baharu, Sarawak turun, Kelantan naik lebih 1,500

Beliau memaklumkan, bangunan yang mempunyai pengudaraan secara semula jadi mempunyai risiko lebih rendah dalam penularan COVID-19 dan lain-lain penyakit bawaan udara.

“Bagi premis dengan sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal iaitu sistem tidak berpusat pula disarankan meningkatkan pengudaraan dalaman dengan membuka tingkap untuk membolehkan pertukaran udara bersih dengan lebih kerap ke dalam bangunan.

“Pasang kipas untuk menambah baik pergerakan udara; pasang kipas ekzos untuk meningkatkan pengudaraan dan pertukaran udara dan digalakkan menetapkan suhu antara 23 hingga 26 darjah celcius,” jelas beliau.

Di samping itu, Dr. Noor Hisham berkata, Perkara yang perlu diambil perhatian khususnya oleh majikan, pemilik premis dan individu-individu bertanggungjawab bagi menjamin kualiti udara yang baik di dalam bangunan bersistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal termasuk:

  • Semua komponen dan kawalan sistem penyaman udara berpusat, Mechanical Ventilation and Air Conditioning (MVAC) ini hendaklah diselenggara dan berfungsi mengikut reka bentuknya. Seals penapis udara hendaklah dipantau bagi memastikan tiada udara melepasi penapis sedia ada dan penukaran penapis udara hendaklah mengikut frekuensi yang ditetapkan;
  • Meningkatkan pengudaraan udara bersih dari luar melalui bukaan outdoor air damper. Disable Demand Control Ventilation (DSV) di dalam sistem MVAC sekiranya ada;
  • Digalakkan supaya sistem MVAC beroperasi dengan pengambilan udara luar yang maksimum selama dua jam sebelum dan selepas dihuni untuk mengeluarkan udara sedia ada (air flushing) di dalam premis tersebut;
  • Disarankan untuk menaiktaraf penggunaan penapis udara di Unit Pengendali Udara (Air Handling Unit) sedia ada kepada sekurang-kurangnya MERV-14;
  • Penggunaan alat pembersih udara dengan teknologi penapis udara jenis HEPA sebagai langkah tambahan di dalam sistem MVAC tersebut; dan
  • Sebarang pengubahsuaian dan pembaikan sistem MVAC sedia ada hendaklah mengambil kira keupayaan sistem sedia ada dan perlu dirujuk kepada MVAC Professional yang berkaitan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram