JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen serta cap keselamatan Imigresen dalam satu siri operasi penguatkuasaan pada awal pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen. Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua orang lelaki ejen warganegara Pakistan telah ditahan dalam operasi tersebut yang dijalankan di dua lokasi premis kediaman di Ampang Selangor dan Wangsa Maju Kuala Lumpur.
“Operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat berhubung kegiatan suspek berkaitan penipuan melibatkan urusan Imigresen. Serbuan dan pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi Bahagian Operasi, Siasatan & Pendakwaan JIM Putrajaya,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Katanya, serbuan dan pemeriksaan di premis pertama di Ampang telah menjumpai cap keselamatan Imigresen Malaysia, cap nama pegawai JIM, cap kedutaan asing, cap entry/exit Negara Pakistan, cap UNHCR, cap Hasil , cap bank dan pelbagai cap syarikat. Turut dijumpai surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dipalsukan.
“Serbuan di lokasi premis kedua di Wangsa Maju telah menjumpai cap nama pegawai JIM, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat dan satu nashkah pasport India.
“Suspek pertama yang berumur 32 tahun ttelah tinggal lebih masa selain memiliki pasport tamat tempoh, manakala suspek kedua yang berumur 37 tahun memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang suami kepada warganegara,” katanya.
BERITA BERKAITAN Warga India, Sri Lanka, Nepal, Pakistan dan Bangladesh kini dibenarkan masuk Malaysia – KP Imigresen
Beliau berkata, kedua-dua mereka yang ditahan dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak tiga tahun lalu dan menjadi perantara kepada pelanggan dari kalangan warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan bayaran yang dikenakan adalah antara RM 2,500 hingga RM 4,000 bagi setiap pasport.
Katanya, sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi ejen warga asing lain yang telah dikenalpasti termasuk orang tempatan. Imigresen sedang memburu suspek-suspek tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada Imigresen.
“Operasi dijalankan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan berkaitan dengan COVID-19. Suspek telah ditahan di Depot Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan lanjut setelah saringan dan hasil keputusan ujian negatif,” katanya.
JIM menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan imigresen. JIM juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan boleh menggugat kedaulatan Negara supaya tampil menyalurkan maklumat. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

