Jika anda melakukan carian imej ‘jihad’ di Google, apa yang anda lihat? Kebanyakannya ialah gambar orang memegang senjata dan bertopeng. Imej militan ini selari dengan kefahaman (orang Barat) bahawa jihad dalam Islam ialah perang agama (holy war). Dalam kalangan umat Islam sendiri pun, ramai yang memahami konsep jihad secara sempit dengan hanya menganggapnya ‘perjuangan mengangkat senjata demi menegakkan agama.’

Justeru, apabila membicarakan soal jihad, ramai yang mengambil pendekatan untuk respons kepada Barat, dan perlu pula diperbetulkan kefahaman umat Islam sendiri mengenai konsep asas dalam tradisi Islam ini.

Umat Islam sendiri sebenarnya berdepan masalah dengan konsep jihad. Ia tidak difahami, tidak diterjemah serta digunakan dengan baik, sehingga maksudnya tidak sampai. Mereka menjadi keliru, malah kadangkala ‘jihad’ disalahertikan.

Antara sebabnya ialah, al-Quran adalah dalam bahasa Arab, yang bukan bahasa ibunda bagi ramai umat Islam. Malah orang Arab sendiri berhadapan masalah dengan bahasa al-Quran itu.

Ini antara yang ditekankan Prof. Tariq Ramadan dalam ceramahnya bertajuk The True Meanings of Jihad. Profesor Pengajian Islam Kontemporari di Fakulti Pengajian Oriental, Universiti Oxford ini juga ialah cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hassan al-Banna.

Dalam membicarakan masalah umat Islam dalam memahami konsep jihad, beliau menjelaskan, As-Sayuti dalam kitabnya Al-Itqan fi Ulum al-Quran menyatakan, ‘jihad’ disebut 80 kali dengan 80  maksud dalam bahasa Arab dan tradisi Islam. Jadi, bagaimana perkataan ini hendak diterjemahkan ke bahasa Inggeris atau bahasa Melayu tanpa menimbulkan masalah?

Jika Muslim sendiri tidak mempunyai kefahaman dan tidak boleh memberi terjemahan mendalam daripada bahasa Arab ke bahasa Arab, atau bahasa Arab ke bahasa Inggeris, apatah lagi pihak orientalis atau sesiapa sahaja daripada agama lain. Mereka boleh berbuat apa sahaja mengikut kefahaman masing-masing.

Maka ini menjadi cabaran pertama umat Islam; memberi definisi yang tepat, kerana perkataan ‘jihad’ mempunyai pelbagai definisi, dan kita mesti bersedia, dengan memahaminya.

Konsep sentral

Jihad, kata Tariq Ramadan, ialah satu konsep sentral di dalam Islam. Sebagai  orang beriman, semua yang kita lakukan adalah bermatlamat mendapat keredhaan Allah, agar kita mencintai-Nya, dan mahu Dia mencintai kita. Apabila kita mahu menuju matlamat itu, pasti ada jalan yang perlu diikuti.  Dan dalam menempuh jalan itu pula tentulah kita akan berhadapan pelbagai cabaran/perjuangan.

Berhadapan dengan perjuangan itulah jihad, dan syariah tidak wujud tanpa pergelutan berhadapan perjuangan tersebut. Tidak ada matlamat dan jalan yang dilalui tanpa jihad. Malah syahadah, solat lima waktu, zakat dan lain-lain rukun Islam juga, ialah jihad.

Jika kita sudah memahami bahawa konsep jihad ialah sentral dalam Islam. Kita juga perlu faham definisinya secara umum. ‘Jahada’ secara ringkas bermakna ‘usaha’ atau ‘melakukan satu usaha’ (to make an effort). ‘Usaha’ itu ialah mengikut jalan (syariah).

Jihad bukan hanya perlu mengangkat senjata melawan musuh Islam tetapi jihad terbaik adalah melawan hawa nafsu

Para fuqaha membataskan syariah kepada hukum, manakala ulama sufi membataskannya kepada penyucian diri. Bagaimanapun syariah merangkumi semua ini mengikut jalan dengan hati, fikiran dan kehidupan.

Di dalam surah al-Baqarah: 144 Allah S.W.T. berfirman, “…hadapkanlah mukamu ke Masjidilharam, dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah wajah kamu ke arahnya….”

‘Menghadapkan wajah’ bermakna menghadapkan hati, dan menghadapkan hati bermakna mengarahkan kehidupan. Kiblat tidak hanya menghadap secara fizikal ke arah kiblat dalam solat, tetapi ke mana arah yang hendak dituju dalam mengubah hidup seseorang. Inilah permulaan jihad.

Untuk mengikuti dan kekal dalam jalan yang dilalui itu, ia memerlukan perjuangan. Allah  memberitahu bahawa Dia menghantar seorang rasul untuk membimbing manusia dalam perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai ujian.

Bagaimanapun, Allah di dalam al-Baqarah: 286 berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya….”

Mesejnya sangat jelas. Kita mampu mengatasi halangan-halangan tersebut, tetapi kita mestilah (berusaha) berhadapan dengannya, dan tidak boleh menyerah kalah.  Sebenarnya kita boleh melakukan lebih baik daripada yang kita fikirkan. Ramai orang telah berjaya mengatasi kepayahan akhirnya berkata, mereka tidak tahu yang mereka mempunyai kekuatan itu.

Apabila kita berkata, “la haula wala quwata illa billa…,” kita mengakui kekuatan itu datangnya dari Dia. Ini juga berlaku kepada para sahabat, 300 daripada mereka boleh mengalahkan tentera musuh seramai 1,000 orang. Apa sahaja boleh berlaku sekiranya kita yakin kepada-Nya.

Setiap Kita Mukallaf

Selain itu, perlu juga difahami bahawa tidak ada sesiapa yang akan menanggung kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Satu hari nanti, kita akan berdiri sendirian di hadapan Allah untuk menjawab soalan-soalan-Nya; bagaimana masa, kesihatan, harta dan hidup kita dihabiskan?

Akhirnya, kita tidak memikul lebih daripada yang kita mampu, kita akan sendirian, dan tidak ada sesiapa yang dapat dipersalahkan atas apa yang telah kita lakukan atau tidak lakukan. Ini adalah satu bentuk tanggungjawab individu.

Jika kita faham hal ini, makna sebenar Islam dalam soal jihad ialah, setiap kita adalah mukallaf; bertanggungjawab. Setiap halangan dalam hidup ialah ujian, jadi janganlah menganggap diri kita menjadi mangsa. Tidak ada mentaliti mangsa dalam Islam! Kita mungkin menjadi mangsa, tetapi kita mesti berdiri dan berani berhadapan rintangan yang datang.

Jika kita faham maksud sebenar jihad, kita tahu setiap rintangan perlukan jihad, maka bangkitlah! Kita cuma perlu bangun berdepan cabaran di hadapan manusia lain dan diri sendiri.

Sebaliknya, hanya sujud di hadapan Allah, dan kerana Allah. Dia sahajalah yang memahami jihad sebenar seseorang, sedang orang lain tidak nampak atau tahu niat sebenarnya.

Berjuang dan bangkit menjadi orang yang berjaya juga adalah jihad.

Dalam pada itu, fahamilah, kesederhanaan adalah satu-satunya cara untuk mematuhi prinsip-prinsip Islam, tetapi sekiranya kesederhanaan membuat kita lupa tentang prinsip-prinsip Islam, ia tidak membawa sebarang makna. Kita bukan lagi Muslim atau golongan moderat. Kita menjadi Muslim tanpa Islam.

Satu lagi aspek penting yang diutarakan Tariq Ramadan ialah, orang Islam bukan sahaja dituntut untuk berjihad di peringkat dirinya, tetapi juga berperanan sebagai rahmatan lil alamin.

Bermakna kita perlu melakukan, atau membawa kebaikan ke dunia ini. Orang Islam tidak boleh hanya berpeluk tubuh, sebaliknya seorang Muslihun ialah seorang yang membawa perubahan.

Jadi, kita perlu menghadapi rintangan hidup untuk membawa perubahan kepada dunia agar menjadi lebih baik. Maka sekaligus, jihad ialah usaha untuk menentang rintangan dan membawa perubahan (islah). Wallahu a’lam

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram