SEBANYAK 472 kes varian Delta telah dikenalpasti antara 13 September hingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurut Dr. Noor Hisham, kesemua kes itu dikesan menerusi kajian berterusan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kata beliau, kajian itu turut dilaksanakan bersama oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC).
Secara keseluruhan, beliau berkata, sebanyak tambahan 475 kes COVID-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) telah dikesan dalam tempoh tersebut dengan tiga lagi kes melibatkan varian Beta.
Dr. Noor Hisham memaklumkan, Sarawak menjadi negeri tertinggi yang dikesan dengan varian Delta iaitu sebanyak 302 kes diikuti Selangor (54 kes) dan Sabah (26 kes).
“IHCM-UNIMAS mengenal pasti sebanyak 302 kes yang kesemuanya adalah VOC varian Delta, manakala MGI mengesan 63 kes iaitu 61 kes varian Delta dan dua kes varian Beta.
“iPROMISE-UiTM pula mengenal pasti sebanyak 48 kes iaitu 47 kes varian Delta dan satu kes varian Beta. IMR mengesan 37 kes, UMBI-UKM (18 kes) dan TIDREC-UM (tujuh kes) yang kesemuanya adalah varian Delta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 13,899 kes baharu COVID-19, Sabah bawah 1,000 jangkitan
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan virus mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 1,860 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,840 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
“Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 1,612 kes varian Delta, 214 kes varian Beta, dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” jelas beliau.
Sementara itu, sebanyak 13,688 kes baharu COVID-19 daripada keseluruhan 13,899 yang dilaporkan hari ini merupakan pesakit yang berada dalam kategori 1 dan 2.
Menurut beliau, jumlah 13,688 kes itu merangkumi 98.5 peratus daripada keseluruhan jangkitan.
Katanya, 211 lagi kes atau hanya 1.5 peratus merupakan kategori 3, 4 dan 5.
Beliau berkata, sebanyak 1,071 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 847 kes disahkan COVID-19 manakala 224 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
“Sebanyak 601 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 359 sah COVID-19 manakala 242 lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
“Kes sembuh hari ini juga melebihi jangkitan baharu iaitu sebanyak 18,074 telah dilaporkan sembuh manakala 12 lagi kluster baharu dikenal pasti,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

