mematahkan sihir dengan hati

Ilmu hitam atau sihir antara ilmu yang digeruni oleh kebanyakan orang. Sebut sahaja santau, tuju-tuju, voodoo, santet termasuk entiti yang berkaitan dengannya seperti polong, pelesit, hantu raya, sudah pasti timbul suatu perasaan seram dan takut kepada orang yang mendengarnya.

Bukan niat untuk menakutkan tetapi hakikatnya perkara ini wujud dalam semua bangsa di dunia. Cuma ketakutan kita terhadap perkara ini selalunya tidak bertempat dan menyalahi hakikat yang sebenarnya.

Ditambah lagi dengan filem dan cerita seram di televisyen serta tokok tambah lidah yang tidak berasas menjadikan ilmu hitam ini berada di suatu kedudukan yang tinggi dalam indeks seram manusia.

Ilmu Sihir Ajaran Syaitan

Iblis dan syaitan telah merancang pelbagai misi untuk menyesatkan manusia. Mereka tidak akan melaksanakan sesuatu pelan kecuali dengan tujuan untuk memastikan manusia mengikut mereka masuk ke neraka.

Mereka mengajarkan pelbagai ilmu yang menyebabkan manusia jadi jahat dan kufur. Antaranya ialah melalui ajaran sihir.  Fakta ini dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah Al Baqarah: 102,

”… Puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia akan ilmu sihir…”.

Persepsi masyarakat terutama bagi kita yang beragama Islam tentang kehebatan ilmu hitam ini perlu dikikis. Ini kerana ilmu tersebut tidaklah sehebat dan sekuat seperti yang disangkakan. Ianya mudah diatasi sekiranya kita mengetahui rahsia dan kelemahannya.

Malangnya, kejahilan kita terhadap perkara ini menyebabkan kita cepat melatah apabila diancam sihir. Mulalah kita berikhtiar dan mencari pelbagai kaedah rawatan yang kadang-kadang menyalahi ajaran Islam. Secara tidak langsung misi syaitan dan iblis untuk menyesatkan manusia berjaya.

Allah S.W.T. tidak akan menurunkan suatu masalah dan musibah kecuali pasti Allah menyediakan panduan untuk mengatasinya sama ada melalui Al-Quran atau Sunnah Nabi. Al-Quran sendiri mengemukakan beberapa kisah pertarungan antara ahli sihir dan para utusan-Nya. Antara yang paling hebat ialah kisah Nabi Musa a.s. melawan ahli sihir Firaun yang sangat hebat.

Kisah Nabi Musa Mengalahkan Ahli Sihir Firaun

Nabi Musa a.s. telah diutuskan oleh Allah S.W.T. bukan sahaja untuk berdepan dengan Firaun yang amat zalim dan kejam, tetapi juga untuk berdepan dengan ahli-ahli sihir terhebat.

Sihir adalah cara syaitan menyesatkan manusia, hanya kuasa hati mampu mengatasinya

Allah tidak mengutuskan Nabi Musa dengan tangan kosong, tetapi dibekalkan dengan dua perkara yang menjadi mukjizat kepada Nabi Musa a.s. iaitu tongkat yang boleh bertukar menjadi ular dan tangan Baginda yang boleh mengeluarkan cahaya. Kisah ini dirakamkan dalam Al Quran, surah Ta-Ha: 17-22,

“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. Allah Taala berfirman:

“Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!” Lalu ia mencampakkannya. Maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar. Allah berfirman: “Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal. Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.

Apakah rahsia tongkat dan tangan Nabi Musa? Sekarang, marilah kita meneliti rahsia apabila Allah berfirman “Apa yang di tanganmu wahai Musa”. Imam Fakhru Al-Razi dalam tafsirnya mengatakan, oleh kerana tajalli pandangan Allah jatuh kepada kedua-dua objek tersebut iaitu tangan dan tongkat, maka kedua-duanya menjadi mukjizat yang sangat hebat.

Lalu kedua-duanya bertukar daripada keadaan yang biasa menjadi sesuatu yang luar biasa dengan izin-Nya. Tongkat Nabi Musa yang merupakan batang kayu yang telah mati dan kering tiba-tiba boleh bertukar menjadi ular yang hidup. Tangan Nabi Musa bertukar menjadi bercahaya gilang gemilang.

Kedua-dua perkara luar biasa ini sangat ajaib. Bagaimana ia boleh berlaku? Ini tidak lain dan tidak bukan kecuali kerana rahmat pandangan Allah yang jatuh ke atas tongkat kayu dan tangan Nabi Musa a.s. lalu ia bertukar menjadi hebat dan mampu mengalahkan tipu daya ahli sihir Firaun.

Imam Ar-Razi seterusnya menyambung bahawasanya Allah S.W.T. memandang kepada hati hamba-Nya sebanyak 360 kali pada setiap hari. Jika hati manusia dipandang oleh Allah sebanyak itu dalam sehari, sudah pasti hati orang itu akan hidup dan menjadi lebih hebat daripada tongkat Nabi Musa.

Malangnya kerana hati kita selalu alpa dan lalai dari mengingati Allah, maka hati tersebut berterusan dalam keadaan mati. Apabila berdepan dengan ancaman sihir yang kecil pun, kita sudah mula menggelabah dan tiada kekuatan untuk melawannya.

Oleh itu, salah satu cara terbaik untuk menentang kejahatan ilmu hitam ialah dengan menghidupkan hati untuk menerima kesan rahmat dan tajalli pandangan Allah ke atasnya. Hati ini bukan sahaja akan hidup, malah berupaya mengalahkan segala tipu daya penyihir.

Bagaimana untuk menghidupkan hati? Tanyalah kepada ahli-ahli zikir dari kalangan ahli sufi kerana pada mereka ada ilmu dan petua untuk menghidupkan hati yang mati, menyembuhkan hati yang berpenyakit, mencelikkan hati yang buta, melembutkan hati yang keras, menyinari hati yang kelam.

Hati yang suci dan sering melazimi zikir mampu mengatasi tipu daya syaitan

Kisah Nabi Muhammad s.a.w. Mengatasi Sihir

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah beberapa kali cuba disihir oleh kaum Yahudi. Dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat satu riwayat tentang kisah Rasulullah yang disihir oleh Labib bin Al-A’sam.

Bahan sihir yang digunakan ialah rambut Nabi yang diikat pada mayang kurma dan ditanam dalam sebuah telaga bernama telaga Za’rawan. Akibat sihir tersebut, Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda tidak melakukan demikian.

Perkara ini berlarutan untuk suatu tempoh hinggalah Baginda diberitahu oleh malaikat bahawa Baginda terkena sihir. Maka Nabi s.a.w. telah meminta para sahabat untuk pergi mendapatkan bahan-bahan sihir yang ditanam itu dan meleraikannya. Sebaik sahaja simpulan sihir tersebut dileraikan, maka kesan sihir itu telah hilang.

Kisah nabi disihir ini merupakan satu panduan untuk kita berdepan dengan masalah sihir. Langkah pertama yang Nabi tunjukkan ialah dengan meleraikan dan memusnahkan bahan-bahan sihir yang digunakan untuk menyihir seseorang. Ini bermakna, selagi mana bahan tersebut masih dalam keadaan tidak dileraikan, maka selagi itulah kesan sihir itu akan dirasai oleh mangsa.

Cara meleraikan bahan sihir itu juga mesti mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi iaitu dengan pergi mendapatkan sendiri bahan-bahan tersebut, bukannya dengan cara menarik  dari jauh melalui khidmat pawang atau bomoh.

Kadang-kadang, mangsa sihir akan mendapat petunjuk tentang bahan-bahan yang digunakan. Mungkin kadang-kadang bermimpi tempat ianya ditanam, mungkin terbayang-bayang lokasi ianya dilakukan, mungkin menyebut suatu petanda tentang bahan tersebut dikala tidak sedar akibat rasukan.

Nabi s.a.w. diperlihatkan kedudukan mayang kurma yang diikat rambut Baginda dan Baginda meminta para sahabat untuk pergi mengambil dan meleraikannya. Itulah cara bagaimana untuk mengatasi sihir yang dilakukan. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail. Pensyarah Universiti Malaysia Pahang

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram