Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur Online 2021 (FPM 2021) untuk mengimbau kembali permainan tradisional yang ada di Malaysia.
Dalam kenyataannya JKKN berkata, program tahunan ini telah lima kali dilaksanakan penganjurannya, namun terhenti seketika pada tahun 2020 sebelum kembali semula tahun ini melalui saluran media sosial JKKN TV.
FPM 2021 menyediakan pelbagai pengisian untuk seisi keluarga. Bukan sekadar memeriahkan industri seni dan budaya tempatan dengan himpunan keunikan seni permainan tradisional, tetapi ia juga salah satu usaha untuk menanamkan minat serta mengangkat kembali permainan tradisional Malaysia supaya tidak pupus ditelan zaman.
Festival yang akan bersiaran di JKKN TV kali ini menampilkan lebih 20 jenis permainan tradisional dan moden pelbagai kaum di Malaysia. Antaranya permainan Congkak, Batu Seremban, Tuju Selipar,Teng-teng, Lompat Getah dan Pukul Berapa Datuk Harimau.

Terdapat juga beberapa pertandingan seperti pertandingan Seni Mempertahankan Diri (Silat, Wushu dan Silambam), Cabaran Jom Viral Permainan Tradsional dan Cabaran Tari Teng-teng.
Untuk pengisian program ilmiah pula, akan disiarkan demonstrasi permainan gasing, bual bicara permainan Kabaddi serta Chek Riej Nuej dari Orang Asal (Orang Asli Gombak).
Demonstrasi permainan tradisional Sabah iaitu Rampanau, permainan tradisional Sarawak, Batak Lampung turut dipaparkan sepanjang siaran FPM 2021.
Penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan artis tanahair, Azlan & The Typewriter dan Busker Kumpulan Sentuhan Aizad. Malah, program ini turut dimuatkan dengan slot tazkirah kerohanian oleh pendakwah terkenal Da’i Aiman dan motivator Aiman Idris.

Majlis pelancaran program ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
“Permainan tradisional dahulu sering kita mainkan secara harian, tetapi kini permainan lama ini semakin dilupakan oleh generasi muda, apatah lagi di kawasan bandar.
“Ini merupakan antara insiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara selaku agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya yang bertanggungjawab untuk menyemarakkan aktiviti seni budaya, adalah dengan melaksanakan penganjuran festival pada tahun ini secara maya dan bersiaran di JKKN TV,” ujarnya.
Festival permainan ini diharap dapat mengimbau kembali permainan tradisional yang ada di Malaysia dan secara tidak langsung dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia. Ia juga salah usaha untuk memastikan permainan tradisional masyarakat di Malaysia akan terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

