PEMETERAIAN memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pakatan pembangkang disifatkan sebagai detik paling lemah kedudukan politik masyarakat Melayu.
Perkara itu diakui Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam webinar bertajuk ‘MoU kerajaan Keluarga Malaysia: Untuk manfaatkan siapa?’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini.
Sebagai ‘orang lama’ dalam dunia politik, Rais berpendapat, ini kerana semua parti politik Melayu tidak bersatu dalam konteks keagamaan atau politik kebangsaan.
Menurut beliau, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta parti politik bersekutu lain tidak dapat bersatu untuk mewujudkan MoU sendiri dalam kalangan orang Melayu.
Bahkan, beliau berkata, menjadi tanda tanya besar apabila kerajaan boleh mewujudkan MoU dengan pembangkang sedangkan parti-parti dalam kerajaan sendiri tidak melaksanakan perkara sedemikian.
“Ini mungkin merupakan jam loceng yang hendak kita bunyikan kuat-kuat kerana pada hemat saya, harus mewujudkan usaha mengadakan MoU antara UMNO, Bersatu, Pas dan pihak lain untuk menerajui perjuangan masa depan serta generasi kita.
“Aspek ini sangat penting jika kita hendak melihat kepada peruntukan Perlembagaan 153 sentiasa terpelihara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam webinar secara maya itu.
Baca artikel berkaitan: Semua parti pembangkang diminta tanda tangan MoU transformasi dan kestabilan politik – Mahdzir
Webinar berkenaan menampilkan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Hanif Omar; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang sebagai ahli panel.
Webinar penuh boleh ditonton di laman Facebook UtusanTV.
Mengulas lanjut, Rais berkata, walaupun pemeteraian MoU berkenaan boleh disifatkan sebagai semangat baharu dalam konteks politik negara, namun beliau tidak melihat ia akan dijadikan satu amalan selepas ini.
Katanya, trend pelaksanaan MoU selepas ini bergantung kepada suasana politik yang akan dihadapi.
“Dalam konteks menyatakan sedemikian, apa yang akan berlaku selepas Julai tahun depan itu Wallahualam, saya tak dapat menyatakan secara tepat tetapi dugaan pemikiran boleh saya cuba kemukakan.
“Selagi Pas, Umno dan Bersatu iaitu pemegang tauliah politik tanah air yang ulung tidak dapat bersatu, selagi itulah kerangka ini akan menjadi sebelah beratnya.
“Antara tiga tadi macam tali tiga sepilin dan tungku tiga sejarangan harus menanggalkan baju politik yang tajam pergi ke depan mencari jalan. Jika tidak, maka ‘ayam’ lain yang akan menceruhkan padi dan beras kita,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

