Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

“KITA sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu.”

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sudah bersetuju tiada lagi perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) baharu dimeterai selepas ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani tahun lalu diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Beliau menjelaskan tarikh 31 Julai yang dirujuk dalam MoU tersebut adalah supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh berkenaan, bukan tarikh tamat MoU.

“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.

“Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (PH), UMNO sudah buat ketetapan tidak sambung.

“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baharu, tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh teruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya seperti dipetik BH Online.

Kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 September 2021 telah melakar sejarah apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Baca artikel berkaitan: PM harap RUU Anti Lompat Parti disokong ahli-ahli Dewan Rakyat

MoU yang dimeterai itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

MoU berkenaan terhasil daripada beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada April lalu pula memutuskan MoU berkenaan tidak akan diteruskan selepas 31 Julai ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan persefahaman berhubung akta pendanaan politik merupakan perkara yang telah disepakati antara kedua-dua pihak termasuk dipersetujui UMNO.

“Kita dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) bersetuju supaya akta pendanaan politik mesti kita bentangkan. Itu keputusan UMNO dan saya difahamkan pembangkang juga ada pandangan sama, akta berkaitan pendanaan politik perlu kita adakan.

“UMNO dalam PAU bersetuju, pembangkang pun setuju perkara sama perlu diadakan. Jadi sama ada ada perjanjian ada atau tak ada perjanjian, yang penting (bawa manfaat) rakyat, mana-mana (persefahaman) yang boleh terus, kita teruskan,” katanya.

Namun begitu, Ismail Sabri memaklumkan pilihan raya umum (PRU) tidak tergantung kepada mana-mana perjanjian dan boleh diadakan pada bila-bila masa yang dirasakannya sesuai.

“PRU boleh diadakan bila-bila masa. Tak tergantung kepada mana-manalah. Sampai waktunya, jika saya anggap sesuai untuk dibubarkan, saya bubarkanlah sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram