Datuk Mior Faridalatrash./ Gambar Fail

POLIS telah membuka dua kertas siasatan melibatkan dakwaan seorang wanita bahawa dua remaja di sebuah sekolah di Perak meninggal dunia setelah menerima vaksin COVID-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua kertas siasatan itu dibuka selepas polis menerima dua laporan polis dibuat pegawai pendidikan kesihatan daerah Ipoh dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh.

Kata beliau, laporan polis itu dibuat berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian pelajar SMK Tasek Damai, Ipoh disebabkan suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Mior Faridalathrash, hasil siasatan awal dilakukan mendapati pelajar pertama telah meninggal dunia akibat masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif COVID-19 serta belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Pelajar kedua pula merupakan seorang lelaki Tingkatan 5 telah meninggal dunia pada 17 September di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh akibat masalah kesihatan iaitu jantung berlubang dengan pelajar itu juga masih belum menerima suntikan vaksin.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di negeri Perak bermula pada 20 September, jadi kematian kedua-dua pelajar tersebut disahkan sebelum PICK ini dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: Tiada kes kematian remaja akibat vaksin COVID-19

Kematian dua pelajar SMK Tasek Damai bukan kerana vaksin Covid-19

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Selain itu, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Mior Faridalathras turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap kesahihan maklumat yang ditularkan.

Dakwaan tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 38 saat yang dirakam dalam sebuah majlis dipercayai diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan kes kematian membabitkan remaja selepas menerima vaksin COVID-19 seperti didakwa aktivis dalam video tular tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram