Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB

Dari Penulis

TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hasan Arifin sebagai Pengerusi TNB berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Beliau dilantik menjadi Pengerusi syarikat elektrik negara menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar bermula 30 Ogos 2021.

Hasan, 68, telah dilantik menjadi Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad tahun lalu.

Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (1990-1999), Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pahang Tenggara (1995- 1998) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2015-2018.

Hasan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bermula 1991 hingga 1995 dan UDA Holdings Berhad (2010-2015).

Mantan Timbalan Menteri Besar Pahang (1995-1999) yang kini menjadi Ahli Parlimen Rompin memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan pernah mengikuti kursus Pengurusan di Asian Institute of Management di Manila.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk menerajui TNB sebagai Pengerusi. Dalam memegang jawatan ini, saya bertanggungjawab terhadap semua pemegang saham dan lebih utamanya pemegang amanah,” kata Hasan.

Beliau menegaskan bahawa terdapat lebih 60 peratus milikan saham TNB dimiliki syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berbekalkan pengalaman luas dalam sektor korporat, Hasan berkata beliau akan meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai oleh pimpinan terdahulu yang telah memastikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada semua pemegang saham serta mengekalkan amalan tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab.

Dalam menyatakan komitmennya bagi memastikan pencapaian jangka panjang pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah untuk pertumbuhan nilai aset-aset TNB, beliau berkata, “Saya berharap Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan akan terus bekerjasama bagi mancapai matlamat yang diinginkan oleh syarikat untuk kebaikan negara.”

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, “Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan 35,000 warga kerja TNB, saya mengalu-alukan kedatangan Datuk Seri Hasan ke Tenaga Nasional.

“Pengetahuan serta pengalamannya yang luas amat bermanfaat untuk inisiatif-inisiatif transformasi TNB serta usaha pemulihan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

200 penerima STR dapat ganjaran Kempen BSN SSP, BSN GIRO-i 2025

SERAMAI 200 pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN), terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memenangi pelbagai hadiah menarik dan...

More Articles Like This