PENGARAH Urusan Safuan Group, Mohd. Faizal Mat Shah dilaporkan telah meninggal dunia sewaktu tidur, pagi tadi.
Mohd. Faizal, 47, yang juga anak kepada Pengasas Safuan Group, Allahyarham Tan Sri Mat Shah Safuan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil.
Menurut rakan rapat kepada keluarga Allahyarham, Abdul Malik Abdul Razak, pemergian Mohd. Faizal hanya disedari isterinya pada sekitar pukul 9 pagi tadi dan doktor mengesahkan Allahyarham mungkin telah meninggal dunia empat jam sebelum itu.
Abdul Malik memaklumkan, anak sulung daripada lima beradik itu tidak mempunyai sejarah penyakit dan merupakan seorang yang ceria.
“Keluarga Allahyarham masih terkejut dan sangat bersedih dengan berita ini.
Baca artikel berkaitan: PKP: Lanjutan moratorium antara lima perkara dipohon PERDASAMA
“Jenazah ketika ini masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, esok,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Mohd. Faizal mengambil tanggungjawab menerajui Safuan Group selepas bapanya, Mat Shah meninggal dunia pada 21 Mac lalu.
Mat Shah merupakan bekas Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).
Safuan Group diasaskan Mat Shah pada tahun 1965 sebagai syarikat pembinaan dan telah mengembangkan perniagaan sebagai konglomerat dalam pelbagai sektor termasuk hartanah dan perhotelan.
Syarikat itu turut mempunyai pejabat berdaftar di Singapura, Indonesia dan Korea Selatan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

