KALAU sebut ‘hot dog’, dah tentu ramai yang tahu makanan ini, dari dewasa sampai ke kanak-kanak. Tapi, tahu tak bagaimana sosej ini boleh mendapat gelaran hot dog?
Pada tahun 1852, sebuah syarikat penghasilan sosej di kota Frankfurt, Jerman mencipta sosej jenis baru dan dinamakan sebagai frankfurter.
Bentuknya panjang dan langsing, tidak besar dan gemuk seperti biasanya. Sarungnya tipis hampir tembus pandang sebelum diisi dengan daging cincang.
Salah seorang di antara pembuat sosej itu memiliki seekor anjing jenis dachshund (anjing tekel) yang berkaki pendek dan berbadan panjang.

Sambil berseloroh, dia mencadangkan agar sosej yang dibuat itu dibengkokkan sedikit, seperti tubuh anjing tekel. Baginya itu perkara lucu. Tanpa disangka, ideanya itu disambut baik oleh rakan-rakan sehingga mereka menggelar sosej itu dengan nama dachshund.
Namun ada satu masalah. Orang Amerika sukar menyebut nama sosej ini. Bagi memudahkannya, ada yang menyebutnya frank(s), wiener, dan lauvlain.
Hinggalah suatu hari, di New York City, seorang pengusaha sosej bernama Harry Stevens menyuruh rakan-rakannya menjaja sosej di setiap pertandingan baseball sambil berteriak, “Red-hot dachshund sausages! (Sosis anjing tekel yang merah dan panas).”

Tindakan itu telah dilihat oleh seorang pelukis kartun akhbar ternama, bernama Ted Dorgan. Beliau lantas mendapat ilham lalu melukis seekor anjing tekal (dachshund), berlumuran mustard di atasnya dan diletakkan pula di celah sebuku roti ban.
Disebabkan tidak tahu bagaimana untuk mengeja dachshund, Ted Dorgan telah menulis di atas lukisannya dengan, “Let’s get a hot dog”.
Gambar itu kemudiannya dimuat di pelbagai media. Ramai pembaca yang tergelak kerana menganggap ia sesuatu yang lucu.
Sejak itu, sebutan hot dog pun menjadi terkenal dan diguna pakai sehingga sekarang. Tiada lagi yang menyebut sosej tersebut dengan panggilan frankfurter atau Wieners.

_____________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

