Kalau anda ke Seremban, Negeri Sembilan, apa kata cuba luangkan sedikit masa untuk mengunjungi Lembaga Muzium Negeri. Di situ, cubalah anda lawati sebuah rumah tradisional Minangkabau yang dibuat daripada papan berwarna coklat. Seeloknya datang pada waktu senja.

Diceritakan kepada saya bahawa kalau bernasib baik, anda akan dapat melihat seorang gadis cantik berpakaian putih sedang duduk termenung di tepi tingkap rumah berkenaan.

Wajah gadis itu kelihatan sugul. Dia tunduk memandang tanah, manakala rambut yang panjang akan menutupi sebahagian mukanya yang putih melepak. Ada waktunya, jika bernasib baik, anda akan dapat melihat gadis itu mundar-mandir di dapur dan loteng.  

Tahukah anda siapa gadis itu?

Diceritakan bahawa ia adalah jelmaan seorang gadis Cina yang pernah menggantung dirinya pada sebatang palang besi dalam rumah tradisional berkenaan. Palang besi itu dilekatkan pada tiang seri dan digunakan untuk menggantung baju.

Seorang kakitangan Lembaga Muzium Negeri memberitahu saya, jelmaan gadis berkenaan bukan muncul setiap hari, tetapi sekali-sekala sahaja. Terpulang pada nasib anda.

Untuk pengetahuan anda, asalnya rumah tradisional Minangkabau itu terletak di Taman Bunga Seremban sebagai daya tarikan untuk pengunjung. Bagaimanapun, ramai yang menyalahgunakan rumah tersebut untuk melakukan perbuatan ditegah, termasuklah gadis berkenaan yang menjadikannya tempat untuk membunuh diri akibat putus cinta. Mulai hari itulah jelmaannya muncul di dalam rumah tersebut.

Demi menjaga imej dan keistimewaannya, pada 1980-an rumah itu telah dipindahkan ke tempatnya sekarang. Masih muncul lagikah gadis Cina itu? Cubalah anda pastikannya sendiri.

Jika anda ke Genting Highlands, cubalah tinjau sebuah hotel di sana yang dianggap misteri. Dikatakan bahawa terdapat sebuah bilik di hotel berkenaan yang ditutup kerana sering diganggu jelmaan mayat seorang lelaki.

Khabarnya, lelaki Cina itu telah mengelar-ngelar badan dan kemudian menggantung dirinya di dalam bilik tersebut. Setelah kematiannya, penghuni bilik tersebut sering melihat jelmaannya dalam keadaan berlumuran darah. Ini menyebabkan pihak pengurusan menutup bilik berkenaan, sampailah sekarang.

Di sebuah apartmen pula, ada waktunya para pengunjung akan melihat seorang wanita membunuh diri dengan terjun dari bangunan tersebut. Bagaimanapun, tubuhnya ghaib sebaik mencecah tanah.

Satu lagi, pernahkah anda dengar cerita jelmaan orang membunuh diri di Stesen Kereta api Tanah Melayu Berhad, Kuala Lumpur?

Diceritakan bahawa dahulu pernah seorang wanita membunuh diri dengan terjun di atas landasan ketika kereta api sedang meluncur laju. Tubuhnya hancur dan dia mati di situ juga. Dikatakan jelmaan wanita itu akan kembali pada waktu-waktu tertentu. Tubuhnya ghaib sebaik dirempuh oleh kereta api.

Selain tiga tempat di atas tadi, saya percaya anda juga tahu terdapat banyak lagi tempat yang seumpama itu. Mengapa ini berlaku?

Untuk pengetahuan anda, dari sudut kajian paranormal, selain teori rakaman visual, memori air, medan elektromagnet dan kebolehan psikik yang dimiliki oleh seseorang, sebahagian pengkaji paranormal melihat kewujudan entiti dari sudut kerohanian.  

Kata mereka, entiti orang yang membunuh diri ini muncul kerana perasaan bersalah yang amat sangat. Maksudnya, si mati sedar tindakan membunuh diri sangat ditegah daripada segi moral dan agamanya. 

Perasaan bersalah inilah yang menyebabkan si mati tadi tidak tenteram. Jasad boleh dikebumikan, tetapi tidak tenaga emosi kerana ia tidak berjisim. Tenaga emosi terus mendiami tempat dia membunuh diri dan mengulangi lagi perbuatan tersebut berulang-ulang kali.

Pandangan ini juga mengatakan, roh si mati sedar bahawa ia akan dibawa ke muka pengadilan. Sudah pasti balasan yang teruk sedang menantinya. Perasaan takut itulah yang menyebabkan roh berkenaan enggan meninggalkan alam nyata ini, lantas merayau-rayau, menangis serta menjerit ketakutan.  

Tidak logik? Terpulang kepada anda sama ada hendak percaya atau tidak, atau ada tafsiran lain untuk menjelaskannya. Lagi pun, kupasan fenomena misteri ini masih terlalu banyak rahsia dan teori yang boleh diperdebatkan.

Oh ya, sebelum artikel ini ditutup, ingin saya ceritakan kepada anda sebuah kisah yang berlaku di sebuah daerah di Johor.

Kisahnya begini. Suatu ketika dahulu, akibat tekanan hidup yang tidak dapat ditangani, seorang ibu muda telah membunuh diri dengan menggantung diri pada alang bumbung di dalam biliknya. Kematian ibu muda itu hanya disedari jiran-jiran selepas mendengar tangisan anaknya yang baru pulang dari sekolah. 

Mulai hari itu, jelmaan ibu muda tadi sering dilihat di sekitar kampung tersebut. Ia merayau-rayau di sekitar rumahnya dan rumah jiran-jiran dengan mengendong seorang bayi. Dikatakan bahawa ibu muda itu hamil beberapa bulan ketika dia membunuh diri.

Jiran-jiran juga sering terdengar suaranya menjerit dan menangis. Jelmaan dan suara menakutkan itu hanya berakhir selepas mayat ibu muda tersebut dipindahkan ke tempat lain, kira-kira 20 kilometer dari situ.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam