OLEH: DATUK DR. HASAN MAD

Pada 27 September 2021, Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Parlimen. Pembentangannya tertangguh sejak Oktober 2020, disebabkan pertukaran kerajaan, bukan disebabkan wabak COVID-19.

Apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan dengan model politik baharu, Kerajaan Keluarga Malaysia, sepantas kilat Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menukar kulitnya dengan meletakkan slogan Keluarga Malaysia.

Bukan itu saja, para pegawai di EPU, juga terpaksa bekerja 24 x 7 bagi menyusun semula kandungannya konsisten dengan slogan baharu itu.

RMK-12 adalah dokumen pelan perancangan berpenggal lima tahun yang ke-12, dihasilkan oleh EPU, bermula dengan RMK-1 bagi penggal 1966-1970.

Bagi keperluan diri saya sendiri, untuk lebih mudah memahami model perancangan itu, saya ibaratkan kerajaan sebagai pemaju perumahan. Di era 1960-70-an, pasaran semasa ketika itu berdasarkan kemampuan negara dan rakyat, jenis rumah yang sesuai ialah rumah murah teres setingkat. ‘Pembeli’ juga di era itu agak docile.

Di era 1980-1990-an, ekonomi bertambah maju dan kuasa beli pembeli meningkat, maka pemaju (kerajaan) menawarkan rumah teres dua tingkat dengan kualiti binaan dan reka bentuk lebih menarik.

Di era 2000-2010-an, naik satu taraf lagi, rumah banglo berkembar dengan kualiti binaan lebih baik dan laman yang lebih luas. Di era ini, cita rasa rakyat semakin pelbagai, maka sebaik saja mereka beli, banyak kerja ubah suai dan perlandskapan masing-masing lakukan menambahbaik banglo berkembar yang dibeli.

Kepelbagaian cita rasa pembeli membuat pengubahsuaian menjadikan setiap satu skim perumahan itu begitu berwarna-warni. Tapi tetap ada cacat celanya sebab ada di antara jiran yang membuat pengubahsuaian berlebihan manakala jiran kembarnya langsung tidak membuat sebarang pengubahsuian, semata-mata kekal dengan apa yang pemaju binakan untuknya.

Memasuki era 2020-an, Malaysia tergolong dalam negara maju. Pembeli rumah dalam era ini sudah berislah kepada tema kemakmuran dan tidak lagi semata-mata berpaksikan pembangunan dan kemajuan. Pada masa yang sama pembeli rumah semakin ‘kritikal’ terhadap pemaju, maka banyaklah komen mengenai banglo yang dibina, sebab, mereka bermentalitikan one design fits taste and preference of all buyers.

Baca artikel berkaitan: RMK-12 utamakan negeri kurang membangun – Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Parlimen, hari ini.

Begitulah cara saya melihat RMK-12 ini.

● Bagi saya dokumen RMK-12 itu berbeza dengan dokumen RMK lima tahun sebelum ini. Ia dokumen perancangan pembangunan negara yang buat pertama kalinya berhijrah dari model pembangunan berteraskan “pertumbuhan dan pembangunan” (growth & development), kepada model berteraskan kemakmuran (prosperity = wealth & wellness). “Wellness” itu membawa maksud yang amat omnibus sifatnya.

● Ismail Sabri mengambil kesempatan dan menyambar peluang pembentangan RMK-12 ini menyelitkan slogan kerajaan pimpinannya, menyepadukan agenda kemakmuran (trend semasa) dengan roh asal DEB 1970 yang mengutamakan inklusif dan kemampanan (inclusiveness dan sustainability).

● Seperti juga model pembangunan, model kemakmuran juga ada kepelbagaian. Saya melihat RMK-12 ini dengan cara saya sendiri dan menerima serta memperakui seada-adanya.

● Pun begitu, kefahaman saya ialah, model kemakmuran yang kerajaan guna pakai masih lagi model kemakmuran yang “economic-centric”. Ia agak berbeza dengan model kemakmuran yang dijuarai misalnya, London Legatum Institute of Prosperity, WEF Davos atau model bersandarkan Social Wealth Economic Prosperity oleh Centre for Partnership Studies, USA.

● Pembaharuan dan transformasi yang diketengahkan dalam RMK-12 saya lihat begitu kerana ia menekankan lebih kepada kepentingan ekonomi dan kurang setara dalam mengambilkira kepentingan lain-lain tunggak kemakmuran. Walhal misalnya, lebih dua tahun kita “diajar” bahawa tunggak kesihatan itu juga adalah setara pentingnya dalam membina kemakmuran yang menyeluruh, maka ia serta lain-lain tunggak kemakmuran hendaklah diperakui dan diberi penekanan dan keutamaan saksama dengan tunggak ekonomi.

● Kegawatan ekonomi yang berlaku sejak awal 2019, adalah dianggap yang paling ganas dalam kurun ini. Ia menjadi lebih malang kerana berlaku serentak dengan wabak Covid-19. Banyak negara, malah WEF Forum 2020, menukar temanya, menekankan kepada agenda ‘The Great Re-set”. Ia memfokus kepada dua strategi utama untuk re-set ekonomi dan kesihatan secara bersepadu. Maka, pelan pemulihan ekonomi negara tidaklah boleh semata-mata mengaitkannya dengan malapetaka wabak Covid-19 saja. Banyak sebenarnya yang perlu di “re-set” selain daripada yang ada kaitan dengan wabak itu. Satu contoh “re-set” yang amat ketara yang wajib kita lakukan segera ialah sistem kewangan dan pasaran modal Islam yang terasing daripada sistem kewangan dan pasaran modal konvensional yang masih “dikuasai’ dan “dicengkam” oleh sistem kapitalis Barat yang amat ganas.

● Khusus bagi negara kita, selain penangan wabak Covid-19 itu kita sebenarnya sudah sekian lama dilanda lebih teruk oleh tiga wabak ini:

❖ Gejala rasuah dan salah guna kuasa
❖ Gejala pemimpin gila kuasa, sehinggakan kita terpaksa menukar kerajaan sebanyak tiga kali dalam satu penggal PRU, dan
❖ Gejala gerakan ekonomi hitam yang menjadi vektor kepada gejala rasuah dan salah-l guna kuasa.

Ketiga-tiga wabak itu jika tidak di “re-set”, secantik mana sekalipun dokumen dan perancangan RMK- 12 akan musnah dek wabak ini. Maka, tunggak governance & integriti dalam agenda kemakmuran yang disarankan itu tidak akan sempurna jika kerajaan hanya melakukan transformasi dan pembaharuan dalam sistem perlaksanaan dan penyampaian saja, tanpa menangani sepenuhnya ketiga-tiga wabak itu.

Dengan penjelasan itu, saya yang mewakili 12 Komuniti Cendekiawan di MPM (Kepimpinan & Pemerintahan; Governance & Integriti; Hal-ehwal Islam; Pendidikan & Latihan; Ekonomi & Kewangan; Keselamatan & Pertahanan, Kesihatan & Wellness; Perundangan & Perlembagaan; Insan & Komuniti; Alam & Sumber; Tanah Simpanan Melayu; Hak Asasi & Hubungan Antarabangsa) berpendirian bahawa, adalah mustahil bagi EPU membuat satu model perancangan yang “one design satisfies the taste and prefenrence for all”.

Pun begitu, salah satu kesilapan besar semasa proses penyediaan deraf RMK-12 ini, mereka dalam lain-lain bidang kemakmuran (selain ekonomi) tidak tampil mendesak EPU untuk dilibatkan sama dalam penyediaan dokumen itu. Hendaknya nanti, dalam penyediaan dokumen RMK-13 kita semua mengambil iktibar daripada kealpaan ini dan bertindak pantas bersedia dari sekarang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan menyediakan dokumen RMK-13 kelak.

Yang nyata, bagi kami di MPM:

  1. Perumpamaannya ialah, rakyat majmuk Keluarga Malaysia ini terimalah seadanya “banglo” yang disiapkan oleh “pemaju” itu untuk tinggal berjiran bersama. Masing-masing diberi peluang dan ruang untuk “mengubahsuai” luaran dan dalaman serta lanskap laman banglo masing-masing. Hendaknya, semua pengubahsuaian itu menghasilkan rumah-rumah banglo dalam satu “taman” yang berwarna-warni serta harmoni dari segala aspek.
  2. Mengambil kira situasi semasa dunia dan negara dek wabak Covid-19, kegawatan ekonomi, ketidaktentuan agenda geopolitik global, ketidakstabilan politik negara dan macam-macam lagi ketidaktentuan, kami di MPM komited untuk melakukan:

⮚ Re-set the economy yang mengalami kegawatan melampau. Banyak yang nak kena “re-set”, seperti kes sistem kewangan dan pasaran modal yang dicontohkan di atas tadi.
⮚ Re-allign kehidupan bagi menyesuaikan diri dengan norma baharu hidup bersama virus Covid-19.
⮚ Re-address prosperity, dengan memastikan penglibatan langsung semua tunggak kemakmuran secara setara dan saksama, dalam mencorakkan kemakmuran negara dengan kehidupan rakyatnya yang sejahtera dan aman damai.
⮚ Re-callibrate inclusiveness, sebab generasi muda kurang mengerti akan semangat DEB 1970, maka ada dalam kalangan mereka, termasuk pemimpin politik generasi itu yang salah tafsir mengenainya. Kesilapan itu boleh mengundang kebencian terhadap hasrat inklusif yang ditekankan.
⮚ Re-affirm sustainability. Negara ini sudah lama menekankan betapa pentingnya mengekalkan kemampanan sesuatu pelan pembangunan untuk mewujudkan keharmonian di antara insan-alam-kehidupan, membina satu equilibrium.

Maka, renovate lah RMK-12 ini mengikut cita rasa masing-masing. Dokumen itu sekadar guiding manual, untuk kita semua rujuk agar dalam kita melakukan kesemua “re-set” yang disenaraikan itu, kita kekal komited mempastikan equilibrium “insan-alam-kehidupan” dalam mentakrifkan makna sebenar slogan RMK-12 ini: Kemakmuran, Inklusif dan Kemampanan.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram